Dr. Dzulkefly Ahmad
PETALING JAYA: Sistem e-penempatan dijamin mampu menampung jumlah trafik yang tinggi kerana ia dilengkapi ciri keselamatan, prestasi baik dan stabil.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, sistem itu yang akan dilaksanakan semula hujung bulan ini dilengkapi perisian antaranya Web Application Firewall (WAF), Content Delivery Network (CDN) dan Integrasi Google reCAPTCHA.
Katanya, fungsi utama WAF bertujuan menyekat spam dan cubaan serangan seperti SQL Injection dan Distributed Denial of Service (DDoS) serta melindungi sistem daripada penggunaan yang terlalu agresif atau tidak normal.
“CDN pula adalah rangkaian pelayan global yang menyimpan salinan kandungan sistem untuk dihantar dengan lebih cepat kepada pengguna bagi mempercepat capaian laman web dari mana-mana lokasi, mengurangkan beban kepada pelayan utama, mengekalkan kestabilan walaupun semasa trafik tinggi.
“Selain itu, ia juga memberi perlindungan tambahan terhadap serangan siber dan migrasi ke Awan Amazon Web Services (AWS Cloud). Malah, sistem e-penempatan kini dihoskan di infrastruktur AWS yang terkenal dengan keupayaan skalabiliti, keselamatan bertaraf industri, dan sokongan terhadap pemulihan bencana.
“Fungsi Integrasi Google reCAPTCHA pula ditambah semasa proses log masuk untuk mengelakkan akses automatik oleh bot dan menambah lapisan keselamatan tambahan terhadap sistem,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dr. Zulkefly berkata, sistem e-penempatan kini di fasa akhir pembangunan dan sedang menjalani proses pengujian prestasi bersama pihak Pusat Kecemerlangan Pengujian Perisian Sektor Awam (MyTCoE) di bawah Jabatan Digital Negara (JDN).
Pada 27 Februari lalu, gangguan teknikal menyebabkan kesilapan dalam pemilihan penempatan 2,245 Pegawai Perubatan Gred UD10, sekali gus menjejaskan agihan yang boleh ditetapkan dalam sistem e-penempatan.
Pada 16 Mac lalu, pegawai perubatan dimaklumkan bahawa proses e-penempatan dibatalkan sekali lagi pada saat akhir tanpa sebarang penjelasan lanjut.
Pembatalan itu disampaikan melalui e-mel sehari sebelum sistem dijadualkan dibuka semula pada 17 Mac dan masih gagal diakses pada 15 Mei lalu.
Tambah Dr. Dzulkefly, kuota pengagihan calon pegawai perubatan tetap yang ditetapkan oleh pihak program perubatan sebelum kegagalan sistem e-penempatan adalah mengikut agihan yang asal iaitu mengikut negeri.
Bagaimanapun katanya, agihan tersebut kini telah dipecahkan sehingga ke peringkat fasiliti.
“Setiap pegawai diberi peluang memohon semula mengikut kaedah baharu, di mana pegawai akan memilih tiga pilihan penempatan dan penempatan muktamad akan ditentukan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) berdasarkan profil dan merit pegawai,” katanya.


































