Lokasi kejadian seorang wanita yang cedera disimbah asid di pekan Beris Kubur Besar, Bachok, Kelantan.
BACHOK: Pakaian seorang pemilik spa terbakar manakala bahagian lengan dan belakangnya melecur selepas disimbah cecair dipercayai asid oleh empat individu termasuk wanita berpurdah di premisnya di Beris Kubur Besar, di sini, kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, suami mangsa yang dikenali sebagai Wan, 33, berkata, kejadian itu menyebabkan isterinya yang berusia 27 tahun mengalami kecederaan parah di kedua-dua bahagian tersebut dan menjalani pembedahan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian, dekat ini.
“Baju dan seluar isteri saya terbakar akibat terkena simbahan asid oleh suspek yang menyamar sebagai pelanggan untuk mengurut di kedainya.
“Kebiasaannya, isteri saya tidak membuka kedai pada waktu malam. Suspek terbabit ada menghubungi isteri untuk mengurut pada waktu malam sebelum kejadian berlaku,” katanya semalam.
Wan berkata, isterinya keluar dari rumah bersama anaknya yang berusia tujuh tahun kira-kira pukul 7.40 malam selepas selesai solat maghrib di rumahnya.
Menurutnya, dia ketika itu berada di rumah sebelum dihubungi oleh isterinya yang memaklumkan bahawa dia disimbah asid oleh seorang lelaki bersama tiga wanita.
“Saya bergegas ke kedai isteri dan mendapati orang ramai membantu membawanya ke klinik kesihatan berdekatan untuk mendapat rawatan awal. Dia memakai telekung solat selepas pakaian hangus terbakar.
“Isteri saya kemudian dihantar ke HPUSM untuk rawatan lanjut akibat kecederaan yang dialami agak serius. Dia ada memaklumkan kepada saya bahawa tidak mengenali wanita yang merupakan salah seorang suspek. Ini kali pertama wanita itu dan tiga suspek datang ke spa isteri saya,” katanya.
Sementara itu, pasukan forensik Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) menemukan empat cap jari yang dipercayai milik suspek serta bekas cecair yang digunakan dalam kejadian simbah asid itu.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 5 petang pada 17 Mei lalu, mangsa yang berusia 27 tahun dan bekerja sebagai peniaga dikatakan sedang bersiap sedia untuk menerima seorang pelanggan yang membuat temu janji rawatan urut di premis miliknya.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, hasil siasatan awal mendapati seorang individu tiba-tiba muncul dan bertindak menyimbah cecair berbahaya ke arah wanita berkenaan sebelum melarikan diri.
“Polis tidak menolak kemungkinan motif kejadian mempunyai kaitan dengan unsur dendam atau perselisihan peribadi, namun siasatan masih dijalankan secara menyeluruh,” katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau bahan berbahaya.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Tawang atau Bahagian Siasatan Jenayah IPD Bachok,” katanya.


































