WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran agar Walmart tidak menyalahkan tarif selepas syarikat itu memaklumkan harga barangnya akan meningkat akibat perang perdagangan yang dicetuskan beliau.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Walmart, Douglas McMillon berkata, kenaikan harga tersebut berpunca daripada tarif terlalu tinggi yang dikenakan oleh pentadbiran Trump, terutama terhadap barangan dari China.
“Kami akan cuba sedaya upaya mengekalkan harga serendah mungkin.
“Namun, dengan tahap tarif yang besar, walaupun sudah dikurangkan minggu ini, kami tidak dapat menampung sepenuhnya tekanan tersebut memandangkan margin keuntungan dalam peruncitan sangat kecil,” kata McMillon dalam satu panggilan hasil kewangan pada Khamis.
Trump kemudian memberi maklum balas pada Sabtu melalui platform Truth Social terhadap komen Wallmart itu, meminta syarikat berkenaan menanggung tarif tersebut dan tidak memindahkannya kepada pengguna dengan menaikkan harga barang.
“Antara Walmart dan China, mereka sepatutnya, seperti yang dikatakan, ‘menelan’ tarif itu dan tidak mengenakan sebarang bayaran tambahan kepada pelanggan. Saya akan memantau dan begitu juga pelanggan anda!” katanya.
Kenyataan Trump itu seiring dengan pandangan Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick, dalam rancangan CNN State of the Union bahawa perniagaan dan negara-negara terlibat sepatutnya menanggung kos tarif itu.
Namun begitu, bekas Setiausaha Perbendaharaan, Larry Summers menyifatkan pandangan tersebut sebagai tidak masuk akal.
Ahli ekonomi berkata, beban tarif ini akhirnya akan ditanggung oleh rakyat berpendapatan rendah dan sederhana, golongan yang menjadi pelanggan utama Walmart sejak sekian lama.
Perubahan harga di Walmart dijangka berlaku menjelang akhir bulan Mei dan menurut Ketua Kewangannya, John David Rainey, harga produknya akan meningkat dengan lebih ketara pada Jun.
Walmart yang mempunyai lebih 4,600 cawangan di seluruh AS mendapatkan barangan dari negara-negara seperti Kanada, China, India, Mexico dan Vietnam yang berdepan kenaikan tarif sekurang-kurangnya 10 peratus.
“Semua tarif ini memberi tekanan kos kepada kami, tetapi tarif yang lebih besar terhadap China memberi kesan paling ketara.
“Ini kerana China, khususnya, menyumbang jumlah yang besar dalam kategori tertentu seperti elektronik dan permainan,” katanya.


































