Muammar Ghadafi
TAMPARULI: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Tamparuli, Muammar Ghadafi membidas kenyataan Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir yang mendakwa “Sabah kaya berbilion, tapi rakyat masih guna lilin dan jalan berlubang”, dengan menyifatkannya sebagai keluhan berasas namun perlu dijelaskan secara lebih bijaksana dan berpandukan fakta.
“Kenyataan Datuk Suhaimi bersifat populis dan seolah-olah memperkecilkan usaha yang sedang dilaksanakan Kerajaan Negeri Sabah. Memang benar masih ada kampung berdepan masalah bekalan elektrik dan jalan rosak, tetapi adakah beliau lupa bahawa masalah ini diwarisi sejak berdekad akibat dasar pembangunan yang berat sebelah dan lambat diperbetulkan?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muammar berkata, Sabah memang kaya dengan sumber asli seperti minyak, gas, balak dan pelancongan, namun hasil negeri itu dibawa ke pusat selama puluhan tahun dengan pulangan yang amat kecil.
Beliau menegaskan struktur pembahagian hasil yang tidak adil menjadi akar kepada kelewatan pembangunan asas.
“Masalah infrastruktur bukan hanya di Sabah. Sarawak juga berdepan isu sama – kampung masih bergantung pada genset, jalan belum berturap dan bekalan air tidak stabil. Kedua-dua negeri kaya hasil bumi, tetapi sistem Persekutuan tidak memberi keutamaan kepada keperluan sebenar rakyat Borneo,” jelasnya.
Katanya, Sabah dan Sarawak berkongsi cabaran geografi sebagai negeri yang luas dengan muka bumi bergunung-ganang dan penempatan berselerak.
“Tidak adil membandingkan Sabah atau Sarawak dengan negeri kecil di Semenanjung seperti Melaka atau Negeri Sembilan. Kos membina jalan, elektrik dan paip air di pedalaman jauh lebih tinggi. Inilah realiti pembangunan di Borneo yang perlu difahami semua pihak,” ujarnya.
Muammar turut menyentuh legasi pemerintahan parti-parti dari Semenanjung yang diberi kuasa di Sabah sejak sekian lama.
“Jika lebih 50 tahun diberi peluang mentadbir tetapi masih gagal menyelesaikan isu asas, maka jangan hari ini berpura-pura seolah-olah ada jalan penyelesaian ajaib. Yang kita perlukan ialah reformasi struktur pentadbiran dan pengembalian kuasa autonomi kepada negeri,” tegasnya.
Beliau turut menyeru semua pihak agar berpolitik secara matang dan fokus kepada penyelesaian.
“Rakyat tidak perlu lagi dipermainkan dengan retorik ‘tukar kerajaan, semua selesai’. Pembangunan memerlukan perancangan jangka panjang, konsistensi dan iltizam semua pihak – bukan sekadar janji bulan dan bintang ketika kempen,” katanya lagi.
Muammar mengajak semua pemimpin, sama ada kerajaan mahupun pembangkang, untuk duduk semeja dan bersatu dalam menuntut hak serta pembangunan adil bagi Sabah dan Sarawak.
“Cukuplah menyalahkan satu pihak semata-mata. Kini masanya kita bina semula Sabah dan Sarawak secara kolektif, adil dan bermaruah,” ujarnya.