Dr. Joachim (tengah) bergambar kenangan dengan tetamu jemputan yang hadir dan Ahli Majlis Daerah Lahad Datu bagi sesi 2025-2027.
LAHAD DATU: Ahli Majlis Daerah perlu mengamalkan sikap “going extra mile” atau pergi lebih jauh membawa maksud kesanggupan melakukan lebih besar daripada yang dijangkakan sekiranya mahu melihat kejayaan dan kecemerlangan dalam sistem penyampaian kerajaan tempatan.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, sikap inilah yang akan membezakan antara sekadar melaksanakan tugas dan benar-benar memberi impak kepada rakyat.
“Going extra mile bermaksud kita sanggup memberi lebih jauh daripada yang diminta, berusaha lebih daripada yang disyaratkan. Ini adalah kunci kepada kejayaan sebenar. Kita tidak boleh hanya bergerak atas landasan biasa, tetapi perlu berani melangkah lebih jauh,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan dan Angkat Sumpah Ahli Majlis Daerah Lahad Datu bagi sesi 2025 hingga 2027, di sini hari ini.
Dr. Joachim berkata, dalam konteks Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pendekatan ini bermaksud ahli majlis bukan sahaja menjalankan tanggungjawab asas, tetapi juga turun padang mendengar suara rakyat, menyelesaikan isu setempat dengan proaktif serta sentiasa mencari ruang penambahbaikan dalam penyampaian perkhidmatan.

Dr. Joachim (tiga dari kanan) menyampaikan watikah pelantikan kepada Ahli Majlis Daerah Lahad Datu bagi sesi 2025-2027 sambil disaksikan oleh Dr. Jamili dan tetamu yang lain.
Beliau menjelaskan, usaha luar biasa itu perlu disertai dengan nilai-nilai integriti, amanah, kerjasama berpasukan dan kepercayaan.
“Saya percaya dengan adanya ‘effort and commitment’, ‘teamwork and trustworthy’, Majlis Daerah akan lebih cemerlang dan dihormati rakyat,” tegasnya.
Beliau turut menyifatkan kementeriannya sebagai ‘ayah’ yang membimbing PBT selaku ‘anak’ agar tidak tersasar dalam menjalankan fungsi masing-masing. Katanya, PBT pula bertanggungjawab menunjukkan prestasi terbaik dan menjaga nama baik organisasi.
Dalam majlis itu, Dr. Joachim turut menyeru semua ahli majlis yang baru dilantik supaya sentiasa berada dalam satu pasukan yang bergerak seiring ke arah matlamat yang sama.

“Jangan ada yang berhenti mendayung, apatah lagi mendayung berlawanan arah. Jika semua mendayung seiring, kita akan sampai ke destinasi dengan lebih cepat dan lancar,” katanya, merujuk kepada analogi organisasi sebagai sebuah sampan.
Dr. Joachim berkata, ahli majlis perlu menjadikan setiap cabaran sebagai ruang pembelajaran dan tidak takut untuk membuat keputusan demi kepentingan rakyat.
“Kita mesti berani melangkah ke hadapan. Kesilapan bukan penghalang, tetapi pedoman. Tugas kita ialah memastikan perkhidmatan yang diterima rakyat sentiasa yang terbaik,” ujarnya.
Beliau yakin bahawa gabungan pengalaman, semangat dan sikap mahu memberi lebih daripada kebiasaan dalam kalangan ahli majlis akan menjadikan Majlis Daerah Lahad Datu sebagai institusi contoh di Sabah.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Dr. Jamili Nais; Pengerusi Majlis Daerah merangkap Pegawai Daerah Firuz Irzualdeen Benetty Mohd Dzul dan Pegawai Eksekutif Majlis Daerah, Jackley Gielbert @ Lontou.


































