SYDNEY: Angka kematian akibat penyakit bawaan tanah, melioidosis, di negeri Queensland, Australia, meningkat kepada 31 orang tahun ini.
Menurut Utusan Malaysia, ABC News melaporkan, jumlah terbaharu itu direkodkan selepas satu lagi kematian dilaporkan di Townsville minggu lalu.
Jabatan Kesihatan Queensland menerima 221 pemberitahuan melioidosis setakat tahun ini, yang disifatkan pakar sebagai wabak besar di negeri tersebut.
Kebanyakan kes dilaporkan dari kawasan Cairns dan Townsville, termasuk satu kluster di kawasan utara Townsville.
Pengarah Unit Kesihatan Awam Townsville, Steven Donohue berkata, pengguna alkohol tegar, warga emas dan individu yang mempunyai penyakit kronik adalah golongan paling berisiko.
Melioidosis adalah penyakit jarang berlaku disebabkan oleh bakteria yang ditemui dalam tanah dan air di utara Australia serta Asia Tenggara.
Bakteria itu boleh memasuki tubuh manusia melalui luka atau penyedutan, menyebabkan peningkatan mendadak kes selepas kejadian banjir besar yang melanda tahun ini.


































