TEXAS: Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) dijangka bakal menggunakan cip kecerdasan buatan (AI) bersaiz biji beras yang mampu meniru fungsi otak manusia dalam dron mini, antara kelengkapan yang kini menjadi kebiasaan di medan perang moden.
Menurut Utusan Malaysia, laporan LiveScience menyatakan, penyelidik di Universiti Texas telah menerima dana penyelidikan bagi membangunkan cip mikroskopik berteknologi tinggi itu, yang dijangka akan siap dalam tempoh tiga tahun.
Berbeza dengan AI konvensional yang memerlukan penggunaan tenaga tinggi, cip baharu ini bakal menggunakan sistem komputer yang meniru struktur otak manusia bagi membolehkan pemprosesan maklumat berlaku secara efisien dan menjimatkan tenaga.
“Dengan meniru cara neuron otak belajar dan membuat keputusan, cip ini mampu berfungsi dengan lebih cekap dan menjimatkan tenaga, satu ciri penting bagi dron bersaiz kecil yang bergantung kepada kuasa bateri,” lapor portal tersebut.
Dron mini yang menggunakan cip AI ini dijangka mampu melakukan fungsi seperti pandu arah autonomi dan pengecaman objek secara kendiri, sekali gus menjanjikan revolusi baharu dalam penggunaan teknologi perang.
Jika berjaya, inovasi ini mampu membuka ruang kepada pembangunan dron-dron yang lebih kecil, ringan dan pintar untuk digunakan dalam operasi ketenteraan moden.


































