Rafie Robert
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bingkor, Rafie Robert menegaskan bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak harus menjadi tebusan kepada mana-mana individu atau parti yang hilang keyakinan terhadap hala tujunya.
Beliau berkata, GRS dibina atas asas saling percaya dan tanggungjawab bersama, bukannya berdasarkan paksaan atau ugutan.
“Jika ada yang tidak lagi yakin atau selesa dengan GRS, pintu untuk berundur sentiasa terbuka. Ini demokrasi — tetapi bukan tiket untuk mengugut, menghasut atau menjadi gunting dalam lipatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rafie turut menyentuh sejarah penyertaan USNO dalam kerajaan negeri meskipun tidak memenangi sebarang kerusi dalam Pilihan Raya Negeri 2020, termasuk Presidennya, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, yang tewas di DUN Pintasan.
“Majoriti calon USNO hilang deposit, namun atas semangat penyatuan dan keikhlasan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, mereka tetap diberi kedudukan dan pelbagai kemudahan dalam kerajaan,” ujarnya.
Namun katanya, menjelang pilihan raya, muncul kembali suara-suara yang sebelum ini senyap, tetapi kali ini dengan nada ugutan dan tuntutan.
“Kalau benar tidak puas hati — jangan paksa diri. Jangan jadi musuh dalam selimut. Jika niat sudah tidak selari, lebih baik nyatakan dengan terbuka,” tegas beliau.
Menurut Rafie, USNO sendiri menghadapi masalah dalaman berkaitan kepimpinan, apabila jawatan-jawatan utama dikawal oleh Presiden tanpa memberi peluang kepada pelapis untuk bangkit.
“Kalau dalam parti sendiri pun tidak demokratis, bagaimana mahu bercakap soal hak dan keadilan dalam GRS?” soalnya.
Beliau turut menyelar mereka yang menurutnya hanya muncul ketika pilihan raya dan berpolitik demi jawatan, bukannya untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Gabungan ini dibina oleh mereka yang sanggup turun ke bawah dan berpeluh di lapangan, bukan yang hanya muncul ketika hampir pilihan raya,” katanya.
Tambah beliau, kepimpinan sebenar dapat dilihat sewaktu krisis, bukannya ketika berada di atas pentas atau di bawah sorotan lampu.
“Mereka yang setia waktu gelap, itulah pemimpin sebenar. Mereka yang menjauhkan diri bila tidak dapat apa yang diidamkan, itulah penumpang. Orang muda Sabah sudah muak dengan pelakon-pelakon politik ini,” katanya lagi.
Rafie menyifatkan tindakan membangkitkan isu serta menunjukkan ketidaksetiaan di saat akhir sebagai “pengkhianatan senyap” yang pasti dinilai rakyat.
“Empat tahun guna semua kemudahan dan faedah, tetapi di penghujung penggal, tunjuk belang. Rakyat akan ingat siapa yang menikam ketika tangan sedang berjabat,” katanya.
Beliau menegaskan, demi kestabilan dan perpaduan GRS, tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang tidak menunjukkan kesetiaan.
“Jangan jadikan GRS sebagai tebusan peribadi. Kalau ada yang mahu bakar rumah ini dari dalam — kita keluarkan mereka sebelum api marak,” katanya.


































