Samad Jamri
KOTA KINABALU: Cadangan pembinaan jalan baharu ke Tanah Perkuburan Islam di Daerah Telupid masih belum dapat dilaksanakan kerana tidak memenuhi kriteria pembiayaan di bawah peruntukan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).
Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Samad Jamri berkata, pihak Pejabat Daerah Telupid telah mengemukakan permohonan berkenaan kepada JHEAINS, namun dimaklumkan bahawa peruntukan jabatan itu hanya meliputi pembinaan laluan di dalam kawasan tanah perkuburan, bukan akses jalan ke lokasi tersebut.
“Maklumat mutakhir yang diterima Kementerian saya adalah jalan ke tanah perkuburan ini tidak termasuk dalam kriteria pembiayaan projek di bawah peruntukan JHEAINS,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Jonnybone J. Kurum (Telupid) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, hari ini.
Menurut beliau, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mempunyai beberapa program yang dibiayai menerusi peruntukan kecil, namun kemampuan dana tersebut adalah terhad.
“Saya khuatir permohonan untuk pembinaan baharu akses jalan ke tanah perkuburan tersebut tidak mencukupi untuk menampung kos pembinaan projek berkenaan,” katanya.


































