Mandela (enam dari kanan) diiringi Pengerusi MICCI Sabah, Datuk Lee Swi Heng (lima dari kanan) serta ahli jawatankuasa memotong kek ulang tahun ke-188 MICCI di SICC hari ini.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menghargai peranan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) dalam proses merangka dasar dan membuat keputusan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Lebih penting lagi, katanya, MICCI telah memainkan peranan penting sebagai rakan kemajuan kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam memupuk persekitaran perniagaan yang baik melalui pembangunan dan pelaksanaan rangka kerja peraturan yang kukuh serta kondusif untuk perniagaan yang sihat.
Hajiji berkata, MICCI juga telah memainkan peranan utama dalam penganjuran Dwi-Tahunan Ekspo Antarabangsa Sabah yang telah menjadi platform penting dalam mempromosikan perdagangan dan pelaburan selama lebih dua dekad.
“Dengan keahlian korporat yang kukuh merangkumi pelbagai sektor perniagaan dari pelbagai negara serta pelaburan bernilai berbilion ringgit, MICCI merupakan satu kuasa yang tidak boleh dipandang ringan.
“Ketahanan dan sejarah sokongannya kepada ahli dalam membangunkan perniagaan mereka di negara ini amat dipuji,” katanya pada Majlis Makan Tengah Hari Tahunan MICCI Cawangan Sabah 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini. Ucapannya disampaikan oleh Setiausaha Kanan Sulitnya, Datuk Ceaser Mandela Malakun.
Hajiji berkata, komitmen Kerajaan Negeri dalam menangani pelbagai cabaran termasuk infrastruktur dan kemudahan asas demi merangsang pertumbuhan ekonomi, jelas melalui peruntukan belanjawan tertinggi sebanyak RM6.42 bilion tahun ini.
Di bawah belanjawan itu, katanya, sebanyak RM2.6 bilion diperuntukkan untuk menaik taraf pelbagai infrastruktur dan utiliti, khususnya yang melibatkan air, elektrik dan jalan raya.
“Kita telah melaksanakan pelan tindakan bersepadu. Antaranya ialah langkah-langkah untuk membantu peralihan kebergantungan negeri terhadap sumber tenaga tidak boleh diperbaharui kepada tenaga boleh diperbaharui, di mana kita telah melancarkan Pelan Induk dan Pelan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040.
“Untuk meningkatkan kapasiti hidro, kita telah melancarkan projek hidroelektrik Ulu Padas yang mampu menyumbang kira-kira 187.5MW dan berpotensi membekalkan kira-kira 6,000 juta liter sehari (MLD) air. Selain itu, kapasiti loji rawatan air sedia ada juga telah ditingkatkan,” katanya.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri turut menubuhkan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) sebagai pihak berkuasa kawal selia bekalan gas dan tenaga bagi menyelesaikan isu berkaitan tenaga.
Katanya, Sabah Ports Sdn Bhd telah memeterai perjanjian untuk mengurus bersama Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar, selain pelaburan dalam logistik dan infrastruktur rantaian bekalan di Sabah.
“Dalam aspek pelaburan, kita telah mencatat momentum positif. Jumlah keseluruhan pelaburan asing dan domestik yang diluluskan dalam sektor perkilangan di Sabah sejak September 2020 dianggarkan berjumlah RM17.41 bilion melibatkan 73 syarikat.
“Daripada 73 syarikat itu, 52 daripadanya telah pun memulakan operasi di negeri ini dengan jumlah pelaburan sebanyak RM7.8 bilion, mewujudkan 3,636 peluang pekerjaan. Dari tahun 2022 hingga 2024, Sabah turut menerima cadangan pelaburan baharu bernilai tambahan RM42.3 bilion yang menawarkan 32,996 peluang pekerjaan,” katanya.
Hajiji berkata, selain SK Nexilis dan Kumpulan Kibing, pelabur lain termasuk Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd dengan pelaburan RM19.6 bilion, Curix Sdn Bhd (KKIP), talian pengeluaran ketiga Kumpulan Kibing (KKIP), Tex Evolusi Waste Management Sdn Bhd (SOGIP) dan E Concern (Borneo).
Katanya, Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) kini turut menyelaraskan cadangan pelaburan terbaharu daripada Kumpulan Kibing di Kimanis, TS Asia Green Infrastructure Sdn Bhd di POIC Lahad Datu dan PMB Technology/Press Metal di Sipitang.
“Secara keseluruhan, saya berbesar hati untuk menyatakan bahawa dengan semua pelaburan ini, Sabah bakal meraih nilai pelaburan sebanyak RM58.319 bilion. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan terus memperkasa momentum ini bagi memastikan Sabah kekal sebagai destinasi pelaburan yang kondusif,” katanya.
Hajiji berkata, Ekonomi Biru yang dilancarkan tahun lalu turut dijangka menjadi pemacu perubahan dalam usaha kepelbagaian ekonomi negeri.
“Ekonomi Biru bukan sekadar perikanan laut dalam. Sebenarnya terdapat 14 komponen dalam Ekonomi Biru yang boleh diterokai. Antaranya ialah tenaga laut boleh diperbaharui, karbon biru, pelancongan, pengangkutan maritim dan bioteknologi marin. Saya menantikan pelaburan dalam sektor ini pada masa akan datang,” katanya.


































