Joniston Bangkuai
KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KEPKAS), Datuk Joniston Bangkuai mengumumkan pembukaan laluan baharu untuk pendakian ke puncak Gunung Kinabalu yang dikenali sebagai ‘Pendakian Exclusive’.
Laluan ini yang merupakan usaha untuk meningkatkan sektor pelancongan di Sabah, dijadualkan akan dibuka dalam waktu terdekat.
Joniston menjelaskan bahawa laluan baharu ini merangkumi pintu masuk kedua menuju puncak Gunung Kinabalu dari kawasan Kadamaian, yang melalui Kg. Kiau Nuluh. Laluan tersebut, yang melibatkan perjalanan dari Kg. Kiau ke Marai Parai, Gurkha Hut dan seterusnya Low’s Peak, diakui sebagai salah satu laluan yang paling selamat dan mudah dilalui. Ini adalah tambahan kepada pintu masuk asal yang terletak di Timpohon Gate.
“Pemilihan laluan ini telah dibincangkan secara mendalam dalam peringkat pengurusan Taman dan telah mendapat kelulusan daripada Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah. Kami telah memperuntukkan RM1 juta untuk memulakan proses ini sementara menunggu peruntukan selanjutnya dari pihak Kerajaan,” katanya semasa menggulung untuk kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Joniston berkata, pengurusan taman kini sedang berkolaborasi dengan komuniti setempat, termasuk masyarakat di Kg. Kiau Nuluh serta Persatuan Malim Gunung, untuk mempercepatkan proses pembinaan dan penyelenggaraan laluan pendakian ini.
Mengikut perancangan, Pendakian Fasa 1 dari Kg. Kiau ke Marai Parai dijangka akan dibuka kepada pelancong menjelang penghujung tahun ini, dengan sasaran awal tahun 2026.
Selain daripada pendakian baharu Gunung Kinabalu, Joniston juga mengumumkan bahawa pihak pengurusan Taman telah mengenalpasti Gunung Sayap, sebuah puncak yang terletak berhampiran Gunung Kinabalu dengan ketinggian 3,065 meter, sebagai produk pelancongan yang berpotensi.
Bulan depan, Taman-Taman Sabah akan melaksanakan Ekspedisi Saintifik untuk mengenal pasti tarikan-tarikan di gunung ini dan menilai keselamatan laluan yang akan digunakan.
“Pembukaan produk baharu ini dijangka akan memberikan limpahan ekonomi kepada pelbagai pihak, terutamanya kerajaan dan komuniti setempat, selaras dengan pengikhtirafan Kinabalu sebagai Geopark Global UNESCO,” ujar Joniston.
Beliau juga memaklumkan bahawa terdapat 14 Persatuan Ekopelancongan komuniti yang telah diberi kebenaran menjalankan aktiviti pelancongan di kawasan Taman, di mana 10 daripadanya beroperasi di Kadamaian dan selebihnya di Kundasang, Ranau.
KEPKAS sedang mengambil langkah aktif untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan pelancongan dan menjadikan Kadamaian sebagai destinasi utama dalam bahan pemasaran dan promosi bagi tahun 2024 dan 2025.
Untuk menyokong pelancongan di Sabah, kementerian telah memperuntukkan RM599,970 bagi pelaksanaan projek pelancongan di kawasan Kota Belud untuk tahun 2024.
Joniston berharap dengan langkah-langkah ini, Sabah dapat mencapai sasaran ketibaan 3.5 juta pelancong pada tahun ini, berkat promosi kempen “Explore Sabah” yang memfokuskan kepada tiga tema utama: budaya, pengembaraan, dan alam semula jadi.
“Kempen ini juga memberi tumpuan kepada tujuh pasaran utama, termasuk United Kingdom, Australia, Jepun, China, India, Asia Tenggara, dan pasaran domestik. Fokus khusus akan diberikan kepada tema pantai dan alam semula jadi serta pengalaman dengan hidupan liar yang lebih autentik,” tambahnya.
Di samping itu, produk-produk pelancongan baru seperti aktiviti pemerhatian burung, pelancongan pendidikan, dan pelancongan kesejahteraan (wellness tourism) semakin menarik perhatian pelancong dari luar negara. Kementerian juga sedang meneroka pasaran baharu dari negara jiran, India, Rusia, dan Eropah Timur.
Beliau menjelaskan bahawa Kerajaan telah meningkatkan usaha untuk menyokong industri pelancongan dengan memperkukuh pelaburan dan inovasi dalam produk pelancongan. Kehadiran hotel-hotel antarabangsa di Sabah menjadi petunjuk keyakinan global terhadap potensi negeri ini.
Beliau turut menekankan keutamaan keselamatan pelancong, di mana KEPKAS sedang melaksanakan Standard Operating Procedures (SOP) untuk aktiviti pelancongan berisiko seperti menyelam, parasailing, dan rafting. Pada bulan Februari 2025, kementerian juga telah menganjurkan kursus Tindak Balas Pertama di Semporna, bagi meningkatkan keselamatan pelancong.
Dalam usaha menjaga alam sekitar, kerajaan negeri berkomitmen dalam pemuliharaan khazanah semula jadi dengan pewartaan beberapa kawasan sebagai taman perlindungan. Pengurusan isu konflik antara manusia dan hidupan liar seperti buaya, gajah, dan monyet juga menjadi fokus dengan melaksanakan program kesedaran dan penguatkuasaan.
Joniston menyatakan komitmen Kerajaan dalam memastikan pembangunan berlaku secara mampan selaras dengan Sustainable Development Goals (SDG). Kerajaan akan mengambil alih pengurusan buangan terjadual daripada Kerajaan Persekutuan pada tahun 2026, demi mencapai matlamat tersebut.
Dalam usaha memelihara warisan dan budaya negeri, beliau berkata, projek pembinaan Muzium Etnik Dusun Ranau yang terpaksa ditangguhkan kini dijadualkan siap dalam setahun, di mana muzium ini diharapkan dapat menjadi tarikan pelancongan penting yang mengetengahkan etnik serta budaya tempatan yang kaya dan unik.
Joniston berharap agar Sabah terus bertambah maju dalam industri pelancongan dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat, serta mengajak semua pihak untuk bersama-sama memajukan sektor ini.


































