Shahelmey (kiri) bersama Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam (kanan) dan Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Hendrus Anding.
KOTA KINABALU: Kebanyakan jalan di Sabah kini telah melepasi hayat reka bentuk asalnya dan tidak lagi sesuai hanya untuk penyelenggaraan rutin.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya menegaskan bahawa jalan-jalan yang berada dalam keadaan teruk perlu dinaik taraf secara menyeluruh untuk memastikan keselamatan pengguna.
Beliau berkata, tindakan penyelenggaraan rutin, seperti tampalan lubang, hanya berkesan jika kerosakan terhad kepada lapisan turapan jalan, iaitu premix. Namun, untuk jalan raya yang teruk dan amat teruk, di mana kerosakan telah merentasi lapisan premix dan mencapai struktur jalan, kerja tampalan lubang menjadi kurang berkesan.
“Bagi jalan-jalan yang sudah mencapai tahap kerosakan yang serius, pembaikan struktur jalan perlu dilakukan,” jelas beliau.
Namun, dalam jangka pendek, tampalan lubang masih diperlukan untuk mencegah keadaan jalan menjadi lebih teruk dan menghalang lubang yang terbentuk daripada mendalam.
Shahelmey merujuk kepada peruntukan khas sebanyak RM285 juta yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri pada bulan Januari yang lalu untuk pembaikan empat jalan utama menggunakan teknik Cold in-place pavement recycling (CIPR). Empat jalan tersebut merangkumi Jalan Nangoh di Paitan Kanibongan, Jalan Kanibongan, Jalan Langkon di Pitas dan Jalan Sapulut di Kalabakan.
Pendekatan ini diambil sebagai langkah untuk meningkatkan infrastruktur jalan yang penting bagi keselamatan dan kemudahan pengguna.
Menggulung untuk kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini, Shahelmey juga menyentuh pelbagai isu yang berkaitan dengan jalan raya serta bekalan air bersih yang telah dibangkitkan dalam persidangan tersebut.
Mengenai peningkatan Jalan Pantai-Sepagaya di Lahad Datu dan Jalan Pamuntarian Kabu Baru di Kg. Lima, Ulu Mosopoh, Nabawan, beliau menekankan bahawa projek-projek tersebut telah dikenal pasti dan tersenarai dalam pangkalan data Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sebagai cadangan dalam Rancangan Malaysia seterusnya.
Pemantauan yang lebih ketat sedang dilaksanakan di peringkat daerah, dengan pejabat-pejabat JKR mengadakan lawatan pemantauan setiap bulan untuk memastikan kualiti penyenggaraan yang dilakukan oleh syarikat konsesi dan kontraktor.
Di peringkat ibu pejabat JKR Sabah, Cawangan Penyenggaraan Jalan juga melakukan lawatan selama 12 kali setahun untuk memastikan setiap daerah diperiksa dengan teliti.
Shahelmey menyatakan bahawa teguran akan diberikan kepada pejabat JKR daerah jika terdapat ketidakpatuhan yang boleh menjejaskan keselamatan jalan raya.
Beliau juga mendedahkan bahawa jumlah peruntukan sebanyak RM13.5 juta telah disalurkan kepada JKR Daerah Semporna untuk penyelenggaraan jalan negeri pada tahun 2025. Cadangan projek naik taraf jalan, jambatan, serta penyelesaian kepada masalah jalan runtuh dan banjir juga menjadi fokus dalam mesyuarat tersebut. Selain itu, projek pembinaan “Relief Road” di Keningau melalui Program Jalan Luar Bandar sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada tahun 2027.
Selain infrastruktur jalan, Shahelmey turut membincangkan isu bekalan air di Sabah. Dalam usaha menyelesaikan masalah bekalan air, beliau menggariskan beberapa pendekatan, termasuk tindakan segera seperti penghantaran air melalui lori tangki ke kawasan yang terjejas.
Pihaknya juga sedang melakukan pengaturan semula pengagihan bekalan air dengan mengawal injap sluice untuk meningkatkan tekanan dan paras air, terutama bagi kawasan-kawasan yang mengalami gangguan bekalan air.
Beliau menambah bahawa bagi tindakan jangka pendek, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) telah melaksanakan kontrak untuk penyelenggaraan rutin paip di 14 zon di seluruh daerah Sabah. Tindakan ini merangkumi kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan mekanikal dan elektrikal, termasuk pam penggalak di kawasan seperti Kota Kinabalu, Sandakan, dan Kinabatangan.
“Strategi kami adalah untuk memastikan bekalan air yang mencukupi dan menambah baik infrastruktur sedia ada agar dapat berdaya mampan untuk jangka panjang. Beberapa projek pembangunan bekalan air berimpak tinggi telah dan sedang dilaksanakan setiap Rancangan Malaysia Lima Tahun bagi memastikan ketersediaan bekalan air yang berterusan,” ujar beliau.
Beberapa projek pembangunan jangka panjang termasuk pembinaan empangan air dengan kapasiti 30 juta meter padu di Tawau serta loji rawatan air baharu di beberapa kawasan, di antaranya Kundasang, Semporna, Lahad Datu, Kota Kinabalu, dan Beaufort. Shahelmey juga menyatakan bahawa projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Kawasan Semporna kini sedang dalam fasa akhir pelaksanaan dengan kemajuan fizikal mencapai 98.81%.
Dengan langkah-langkah terperinci dan menyeluruh yang diambil, kementerian melalui JANS berhasrat untuk memastikan penyelesaian yang berkesan dan mampan terhadap isu bekalan air di Sabah.
Shahelmey menegaskan bahawa kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan, sektor swasta, serta masyarakat adalah kunci untuk mencapai objektif yang ditetapkan demi kesejahteraan semua pihak di negeri ini.


































