Ellron Angin (kiri) di Persidangan DUNS Sabah.
KOTA KINABALU: Koperasi Serbaguna SANYA Berhad (KOSAN) telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Tenaga Kerja dan persetujuan telah dicapai untuk melaksanakan pembayaran pampasan kepada bekas kakitangan dan pekerjanya.
Menteri Belia dan Sukan (KBS), Datuk Ellron Angin berkata, kementeriannya tidak berperanan secara langsung dalam pengurusan koperasi KOSAN.
“Saya hanya mempengerusikan mesyuarat Ahli Lembaga Koperasi (ALK) dan tidak mempunyai kuasa eksekutif untuk memutuskan keputusan mesyuarat tersebut. Namun, KOSAN telah mencapai persetujuan dengan Jabatan Tenaga Kerja untuk melaksanakan pembayaran pampasan kepada bekas kakitangan dan pekerjanya,” jelas beliau ketika menggulung untuk kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Ellron berkata, bayaran pampasan akan dilaksanakan secara beransur-ansur dalam tempoh satu tahun mengikut kemampuan KOSAN.
Selain itu, terdapat cadangan dari syarikat swasta untuk menggunakan kilang KOSAN di Papar yang tidak lagi digunakan untuk dijadikan kilang pemprosesan air minum. Jika cadangan ini dapat direalisasikan, ia akan membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
Dalam pada itu, Ellron menyatakan bahawa Dewan Belia Sabah (DBS) masih aktif dan persidangan akan dilaksanakan tahun ini.
Mengenai cadangan penubuhan Sabah Youth Policy Action Hub, kementerian beliau akan mengkaji keperluan polisi ini, kerana mereka kini dalam proses mewujudkan rang undang-undang berkaitan belia di Sabah.
Ellron juga memaklumkan bahawa kementeriannya sedar mengenai keperluan dana untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti DBS, yang mana pemberian dana tertakluk kepada kedudukan kewangan kementeriannya.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu bahawa KBS masih mencari tapak tanah berkeluasan lebih daripada 20 ekar di kawasan Papar untuk pembinaan kompleks sukan Daerah Papar, kerana tapak yang dicadangkan sebelum ini tidak sesuai. Setelah isu tapak diselesaikan, pembinaan kompleks sukan tersebut akan disenaraikan dalam projek Pembangunan Rancangan Malaysia yang akan datang.
Ellron turut mengumumkan bahawa kemajuan fizikal Kompleks Sukan Tongod setakat ini adalah 90 peratus, dengan baki 10 peratus melibatkan penyediaan lapisan trek dan pemasangan trek sintetik.
Beliau menjelaskan bahawa kelewatan pembinaan tersebut disebabkan oleh penangguhan semasa pandemik Covid-19 dan perubahan kerja akibat batu-batu besar yang ditemui semasa proses meratakan kawasan tapak, serta keadaan cuaca yang tidak menentu.
Walaupun terdapat kelewatan, Ellron menyatakan bahawa kontraktor telah dipanggil dan diberi amaran agar menyiapkan pembinaan Kompleks Sukan Tongod mengikut jadual yang ditetapkan pada tahun ini.
Dalam usaha memperkasakan pembangunan belia di Sabah, beliau memaklumkan bahawa setakat ini, KBS belum melaksanakan program belia khusus di kawasan Gum-Gum. Namun, kementeriannya telah melaksanakan beberapa program belia di daerah Sandakan yang diiklankan dalam laman web dan Facebook, terbuka kepada semua belia di Bahagian Sandakan.
Ellron menekankan pentingnya melibatkan belia dari semua daerah dalam program-program belia yang dilaksanakan kementeriannya, dan yakin bahawa belia dari kawasan Gum-Gum juga terlibat dalam program-program tersebut.


































