Dr. Mohd. Arifin Mohd.Arif
KOTA KINABALU: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) menegaskan komitmennya dalam memperkasa transformasi digital, pendidikan STEM dan pembangunan modal insan selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menggulung untuk kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini, Menteri KSTI Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd.Arif berkata, kementerian sedang melaksanakan pelbagai program secara menyeluruh termasuk pembudayaan STEM, pembangunan TVET dan perluasan capaian internet ke luar bandar.
Beliau berkata, antara program utama ialah pelaksanaan 15 program pembudayaan STEM pada tahun 2025, termasuk Karnival STEM dengan kerjasama 24 Pejabat Pendidikan Daerah, dengan setiap PPD menerima RM20,000.
“KSTI turut melancarkan Program Pre-Sense 4.0 bersama UMS yang memberi tumpuan kepada pelajar kurang upaya penglihatan bagi memastikan penyertaan inklusif dalam pendidikan STEM.”
Dr. Mohd. Arifin berkata, Pusat Sains Keningau yang siap dibina dengan kos RM3 juta pada akhir 2023 telah menerima hampir 20,000 pengunjung, mencerminkan sambutan yang menggalakkan terhadap inisiatif pendidikan sains.
Katanya, dua lagi pusat sains baharu di Sandakan dan Tawau sedang disediakan, dan kementerian merancang membangunkan dua lagi pusat baharu di bawah RMK13 bagi memperluaskan akses pendidikan sains di kawasan luar bandar.
Beliau berkata, dalam pembangunan TVET, Majlis TVET Negeri Sabah telah ditubuhkan bagi menyelaras hala tuju strategik, manakala program ILTP JPSM dinaik taraf kepada diploma dan diploma lanjutan dengan laluan ke UniKL.
Sejumlah 688 kursus keusahawanan dan kemahiran telah dilaksanakan di 73 DUN melibatkan lebih 14,800 peserta sejak 2021, selain 26 kursus berimpak tinggi dijalankan dengan kerjasama industri seperti MARii dan KTechno.
“Platform digital seperti Sistem Latihan Kemahiran Bersepadu (SiLK), Sabah Job Portal (SJP) dan sistem POMIGAS dibangunkan bagi memadankan latihan dengan keperluan sebenar industri termasuk sektor minyak dan gas.
“SiLK bertindak sebagai pusat data latihan vokasional, manakala SJP membantu pencari kerja dipadankan dengan pekerjaan dan cadangan latihan tambahan secara pintar.”
Dr. Mohd. Arifin berkata, kementerian juga komited menggunakan data raya untuk merangka dasar latihan berpaksikan bukti bagi meningkatkan kecekapan perancangan program masa depan.
Bagi mempercepat agenda pendigitalan, JPKN akan membangunkan 30 sistem aplikasi kerajaan digital serta menyediakan capaian internet dan keselamatan siber di semua premis kerajaan negeri.
“Inisiatif pembangunan AI akan dimanfaatkan dalam automasi pentadbiran, analisis data dan sistem sokongan keputusan bagi memastikan keberkesanan pentadbiran Kerajaan.”
Menteri berkata, kerjasama Petrosains dan American Green Corner bersama Perpustakaan Negeri Sabah juga memperkukuh pembudayaan sains dan inovasi dalam kalangan komuniti melalui 25 cawangan dan 73 perpustakaan desa.
Katanya, SCENIC pula berperanan penting dalam menjana ekonomi digital Sabah dengan memfokus kepada pembangunan 78 startup teknologi serta memfasilitasi RM4 juta dana kepada usahawan teknologi.
“Selain itu, SCENIC mengangkat karya kreatif tempatan ke peringkat antarabangsa serta mempromosi perusahaan sosial yang kini berkembang kepada 86 usahawan sosial aktif di Sabah.”
Simposium Rural Social Enterprise Gathering bakal dianjurkan bersama Social Enterprise World Forum (SEWF) pada 3 November 2025 bagi menghimpunkan komuniti sosial dari seluruh dunia.
Dalam pendidikan pula, peruntukan bantuan pendidikan Sabah tahun 2025 meningkat kepada RM77.5 juta termasuk RM33.5 juta untuk pendidikan agama, menandakan komitmen Kerajaan Negeri terhadap pembangunan modal insan.
Dr. Mohd. Arifin berkata, program seperti BUDI, BAIK, AKSA, BANTU, SEMESTA, SENTOSA dan SUKSES terus memanfaatkan ribuan pelajar Sabah dari semua peringkat, termasuk asnaf yang turut menerima bantuan daripada MUIS dan PBNS.
Beliau turut menekankan usaha pemantauan status halal produk di Sabah oleh MUIS serta perancangan menubuhkan Makmal Halal Negeri Sabah dengan dana RM2 juta menjelang pertengahan 2026.
“Kesemua inisiatif ini adalah bukti komitmen berterusan KSTI untuk memastikan rakyat Sabah tidak ketinggalan dalam arus digital, pendidikan dan pembangunan ekonomi masa hadapan,” katanya.


































