Abdul Ghani Mohamed Yassin
KOTA KINABALU: ADUN Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin berkata, Kerajaan Negeri perlu menyediakan pelan awal yang jelas dan proaktif bagi menghadapi kenaikan tarif sebanyak 24 peratus oleh Amerika Syarikat terhadap Malaysia, yang boleh memberi impak besar kepada sektor eksport negara dan menjejaskan pengeksport kecil, termasuk dari Sabah.
“Kerajaan Negeri harus mempunyai pelan awal yang jelas dan proaktif untuk menghadapi cabaran ini,” katanya, sambil mencadangkan pelaksanaan pelan jangka pendek seperti pemberian bantuan kewangan dan subsidi segera kepada pengeksport terjejas, khususnya pekebun kecil.
Beliau juga mencadangkan agar Kerajaan mempergiat usaha meneroka pasaran eksport baharu seperti China, India, Kesatuan Eropah dan Timur Tengah bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasaran Amerika Syarikat.
Sebagai pelan jangka panjang, beliau mencadangkan transformasi industri termasuk pembangunan industri hiliran berasaskan sawit seperti biofuel, kosmetik dan produk nilai tambah lain bagi meningkatkan nilai eksport negara.
Membahas Ucapan Dasar Kerajaan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini, Abdul Ghani berkata, kejadian banjir luar biasa yang melanda Nabawan baru-baru ini mendedahkan kekurangan aset dan kelengkapan agensi penyelamat di daerah tersebut, sekali gus menyukarkan operasi menyelamat dan penghantaran bantuan kepada mangsa.
“Buat pertama kalinya, banyak kampung di Nabawan ditenggelami air. Ini membuktikan bahawa bentuk muka bumi berbukit tidak menjamin keselamatan daripada bencana banjir,” katanya.
Menurut beliau, pasukan barisan hadapan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) tidak memiliki aset yang mencukupi, dan keadaan ini amat membimbangkan.
“Pengalaman pahit ini harus dijadikan pengajaran. Kerajaan perlu bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan untuk memperkukuh logistik penyelamatan di kawasan-kawasan banjir, terutamanya di pedalaman,” tegas beliau.
Abdul Ghani mencadangkan agar Nabawan dibekalkan dengan helikopter, bot penyelamat, dan kenderaan pacuan empat roda bagi memudahkan operasi kecemasan ketika bencana berlaku. Beliau turut merayu supaya semua agensi keselamatan di daerah itu dilengkapi dengan aset yang sesuai dan berfungsi dengan baik.
Banjir tersebut telah menjejaskan 30 kampung dan menyebabkan seramai 687 orang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Beliau turut menekankan pentingnya pemeliharaan ekosistem untuk kesejahteraan rakyat secara menyeluruh. Sebagai langkah penyelesaian, beliau mencadangkan kerja-kerja mendalamkan dan melebarkan sungai yang cetek akibat sumbatan dan runtuhan, khususnya Sungai Nabawan dan Sungai Loggongon di Pagalungan.
“Pembinaan tebing sungai di kawasan perkampungan berhampiran sempadan Malaysia-Indonesia juga perlu dipertimbangkan bagi mengelak hakisan dan banjir di masa hadapan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Abdul Ghani turut menyuarakan isu pembangunan infrastruktur asas yang masih belum menyeluruh di Nabawan, termasuk bekalan air bersih, elektrik dan jaringan jalan raya.
“Banyak kampung masih belum mempunyai akses kepada bekalan air bersih dan elektrik. Jalan perhubungan juga tidak berturap dan ada yang terputus,” katanya, sambil menyeru agar pembangunan asas di kawasan pedalaman diberikan perhatian dan dilaksanakan secara menyeluruh dan efisien.
Beliau turut membangkitkan isu beberapa projek pembangunan yang tertangguh, antaranya pembinaan dua jambatan utama ke Pekan Nabawan yang belum dimulakan disebabkan kelewatan pihak utiliti mengalihkan tiang elektrik dan paip air.
“Perkara ini tidak sepatutnya mengambil masa terlalu lama,” tegasnya.
Selain itu, beliau memohon penjelasan mengenai status penaiktarafan jalan gravel dari Kampung Pemunterian ke Kampung Mesopoh, serta mencadangkan pelaksanaannya secara berfasa jika terdapat kekangan kewangan.
Abdul Ghani turut menuntut penjelasan mengenai status pemilikan lot-lot tanah di bawah Skim Nabawan, termasuk jumlah keluasan tanah yang telah diberikan geran kepada penduduk.
“Saya berharap segala isu dan cadangan yang dibangkitkan dapat diberi perhatian serius oleh Kerajaan demi manfaat rakyat, khususnya di kawasan pedalaman. Saya doakan agar segala usaha kita membuahkan hasil untuk membangunkan negeri Sabah yang kita cintai,” katanya.
































