BEIJING: China mengumumkan akan mengurangkan bilangan filem Amerika Syarikat (AS) yang ditayangkan di negara itu, sebagai sebahagian daripada tindakan balas terhadap tarif yang dikenakan oleh Presiden Donald Trump.
Menurut Utusan Malaysia, Pentadbiran Filem China berkata, langkah tersasar Washington dalam mengenakan tarif berlebihan terhadap Beijing berkemungkinan besar akan menghakis persepsi positif penonton China terhadap filem Amerika.
“Kami akan mematuhi prinsip pasaran, menghormati pilihan penonton dan mengurangkan jumlah import filem Amerika secara sederhana,” katanya.
Langkah itu berpotensi menjadi tamparan besar kepada studio Hollywood dari segi kewangan.
Studio Hollywood pernah melihat China, pasaran filem kedua terbesar di dunia, untuk membantu meningkatkan prestasi kutipan filem di pawagam.
Namun, filem tempatan kini semakin mengatasi filem Hollywood di China, dengan ‘Ne Zha 2’ mengatasi ‘Inside Out 2’ terbitan Pixar, untuk menjadi filem animasi dengan kutipan tertinggi sepanjang masa.
Pengarang ‘Feeding the Dragon: Inside the Trillion Dollar Dilemma Facing Hollywood, the NBA, and American Business’, Chris Fenton berkata, tindakan mengehadkan filem buatan AS merupakan langkah balas dendam berprofil tinggi dengan hampir tiada kesan negatif kepada China.
Filem Hollywood hanya menyumbang sekitar lima peratus daripada jumlah kutipan pawagam di pasaran China.
Malah, studio Hollywood hanya menerima sekitar 25 peratus daripada hasil jualan tiket di China, berbanding hampur dua kali ganda di pasaran lain, menurut Fenton.