Saham syarikat gergasi minuman soda, Coca-Cola dan Pepsico, merosot susulan kenyataan Setiausaha Kesihatan, Robert F. Kennedy Jr.
WASHINGTON: Setiausaha Kesihatan Amerika Syarikat (AS), Robert F. Kennedy Jr. menggesa pihak berkuasa negeri untuk melarang penggunaan bantuan makanan bagi membeli minuman soda.
Menurut Utusan Malaysia, ketika berucap di sebuah acara di West Virginia kelmarin, Kennedy mendedahkan negeri itu – antara yang termiskin di AS – memohon pengecualian bagi menghalang penerima insentif setem makanan daripada menggunakan bantuan tersebut untuk membeli minuman soda seperti Coca-Cola dan Pepsi.
Kenyataan itu menyebabkan saham pengeluar minuman soda merosot.
Dibiayai oleh dana awam, Program Bantuan Pemakanan Tambahan (SNAP) menyediakan kad pembayaran kepada isi rumah berpendapatan rendah bagi membeli buah-buahan dan sayuran, daging serta produk tenusu.
Program SNAP juga membenarkan pembelian makanan ringan dan minuman bukan alkohol, termasuk minuman soda, menurut Jabatan Pertanian AS (USDA), yang mengendalikan program tersebut.
USDA dalam kenyataan berkata, lebih 42 juta rakyat AS menerima manfaat daripada program itu setiap bulan pada 2023, dengan kos tahunan melebihi AS$112 bilion (RM496 bilion).
Saham syarikat gergasi minuman soda, Coca-Cola dan Pepsico, merosot susulan berita itu, dengan masing-masing ditutup pada 0.5 peratus dan 0.3 peratus.
Terkenal dengan pendirian skeptikal terhadap vaksin dan ketidakpercayaan kepada institusi, Kennedy memperkenalkan slogan ‘Make America Healthy Again’, yang mengambil inspirasi daripada slogan ikonik Presiden Donald Trump, Make America Great Again.


































