PASIR GUDANG: Seorang bayi perempuan berusia setahun maut selepas digilis kereta yang dipandu oleh bapanya sendiri dalam kejadian di Taman Desa Harmoni, di sini semalam.
Menurut Utusan Malaysia, dalam kejadian pukul 2.30 pagi itu, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala semasa menerima rawatan.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, kejadian berlaku ketika bapa mangsa berusia 27 tahun sedang mengalihkan kenderaan jenis Proton X50 dari garaj rumahnya.
“Sewaktu mengundurkan kenderaan, pemandu terdengar bunyi dari arah belakang tayar sebelah kiri.
“Setelah turun untuk memeriksa, dia mendapati anaknya berada di belakang kereta dalam keadaan berdarah dan tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Sohaimi berkata, mangsa segera dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, katanya, mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala semasa menerima rawatan.
Jelasnya, kes disiasat Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan ibu bapa agar lebih berwaspada dan memastikan anak-anak berada di tempat yang selamat sebelum memulakan pemanduan, terutamanya dalam kawasan rumah sendiri.


































