Dengan lebih 600 juta pengguna, platform X kini bersedia untuk bergerak seiring dengan xAI, yang dilancarkan dua tahun lalu.
SAN FRANSISCO: Jutawan terkenal, Elon Musk mengumumkan syarikat kecerdasan buatannya, xAI, membeli platform media sosial X dalam satu perjanjian pada harga AS$33 bilion (RM146 bilion).
Menurut Utusan Malaysia, dalam hantaran di platformnya, Musk berkata, gabungan itu akan membuka potensi besar dengan menggabungkan keupayaan dan kepakaran xAI dengan jangkauan luas X.
Dengan lebih 600 juta pengguna, beliau berkata, X kini bersedia untuk bergerak seiring dengan xAI, yang dilancarkan dua tahun lalu.
“Hari ini, kami secara rasmi mengambil langkah untuk menggabungkan data, model, pengkomputeran, pengedaran dan bakat.
“Ini akan membolehkan kami membina platform yang bukan sahaja mencerminkan dunia, tetapi juga mempercepatkan kemajuan manusia,” kata Musk mengenai gabungan kedua-dua syarikat itu.
Kedua-dua syarikat digabungkan dalam perjanjian semua saham yang menilai xAI pada AS$80 bilion (RM354.6 bilion) dan X pada AS$33 bilion, termasuk hutan AS$12 bilion (RM53 bilion) platform media sosial itu.
Musk membeli Twitter pada akhir 2022 dengan harga AS$44 bilion (RM195 bilion) dalam transaksi yang merangkumi hutang, sebelum melancarkan xAI pada tahun berikutnya dan membelanjakan berbilion dolar untuk cip berprestasi tinggi Nvidia bagi projek tersebut.
Februari lalu, xAI melancarkan versi terbaharu chatbotnya, Grok 3, yang diharapkan Musk dapat bersaing dalam sektor kecerdasan buatan menyaingi ChatGPT dan DeepSeek dari China.


































