SEOUL: Seorang penunggang motosikal maut selepas terjatuh ke dalam lubang benam besar di Seoul, Korea Selatan.
Menurut Utusan Malaysia, lubang besar tersebut terbentuk di sebuah persimpangan di tenggara ibu negara Korea Selatan sekitar pukul 6.30 petang.
Rakaman dashcam yang dikongsi dengan AFP menunjukkan lubang itu muncul secara tiba-tiba di tengah jalan yang sibuk, dengan sebuah motosikal terjatuh ke dalamnya.
Pasukan penyelamat bertungkus-lumus selama 17 jam dalam operasi mencari penunggang motosikal terbabit, menggunakan sut kalis air dengan bantuan anjing penyelamat.
Pegawai di Balai Bomba Gangdong, Kim Chang-seop berkata, mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an ditemukan kelmarin, kira-kira 50 meter dari garisan tengah lubang benam.
“Mangsa tertimbus pada kedalaman kira-kira 90 sentimeter dan ditemukan dalam keadaan sempuna, masih memakai topi keledar dan but motosikal,” katanya.
Pihak berkuasa melaporkan kira-kira 6,480 metrik tan tanah dan pasir terkumpul di dalam lubang benam tersebut.
Kebocoran air turut menghasilkan kira-kira 2,000 tan campuran pasir dan air, di dalam kawah.
Anggota bomba mengepam keluar sekitar 1,800 tan air menggunakan pam simpanan.
Jabatan bomba melaporkan lubang tersebut kini berukuran sekitar 20 meter lebar dan 20 meter dalam.
Beberapa sekolah berhampiran juga ditutup kelmarin atas faktor keselamatan.
Punca kejadian kini masih disiasat, namun insiden tersebut berlaku di tapak kerja sambungan laluan metor yang sedang dijalankan.
Kejadian tanah mendap jarang berlaku di Korea Selatan, dengan purata kurang daripada 200 kes dilaporkan setiap tahun, jauh lebih rendah berbanding Jepun.


































