TOKYO: Jepun mencatatkan jumlah kelahiran paling rendah dalam sejarah apabila hanya 720,988 bayi dilahirkan pada 2024, menandakan penurunan selama sembilan tahun berturut-turut.
Menurut Utusan Malaysia, Kementerian Kesihatan negara itu memaklumkan, jumlah kelahiran itu menunjukkan penurunan sebanyak lima peratus berbanding tahun sebelumnya, meskipun kerajaan di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Fumio Kishida melaksanakan pelbagai inisiatif pada tahun 2023 untuk menggalakkan pasangan mempunyai anak.
Dalam masa sama, Jepun turut merekodkan jumlah kematian tertinggi sebanyak 1.62 juta kes, menyebabkan lebih dua kematian berlaku bagi setiap kelahiran baharu.
Keadaan ini berbeza dengan negara jiran, Korea Selatan yang mencatatkan peningkatan kadar kesuburan buat pertama kali dalam tempoh sembilan tahun, hasil usaha kerajaan mempromosikan perkahwinan dan kelahiran anak.
Namun, di Jepun, trend kelahiran masih belum menunjukkan sebarang tanda pemulihan.
Pakar ekonomi di Institut Penyelidikan Jepun, Takumi Fujinami berkata, kemerosotan jumlah kelahiran di negara itu berpunca daripada penurunan kadar perkahwinan sejak beberapa tahun lalu, khususnya akibat pandemik Covid-19.
“Walaupun jumlah perkahwinan meningkat sebanyak 2.2 peratus kepada 499,999 pada 2024, ia hanya berlaku selepas penurunan mendadak termasuk kemerosotan sebanyak 12.7 peratus pada 2020.
“Kesan daripada situasi ini dijangka berlarutan sehingga 2025,” katanya dipetik Reuters.
Berbeza dengan negara Barat, kebanyakan bayi di Jepun dilahirkan dalam ikatan perkahwinan, sekali gus menunjukkan hubungan rapat antara kadar perkahwinan dan kelahiran di negara berkenaan.
Bagaimanapun, di Jepun, data terkini menunjukkan kadar kesuburan bagi setiap wanita sepanjang usia reproduktif hanya mencatatkan 1.2 pada 2023.
Menurut Fujinami, meskipun terlalu awal untuk membuat perbandingan antara kedua-dua negara, usaha memperbaiki peluang pekerjaan dan merapatkan jurang gender adalah penting bagi menggalakkan golongan muda berkahwin dan berkeluarga.


































