MANILA: Polis Filipina menahan lebih 450 orang dalam serbuan ke atas sebuah pusat permainan judi dalam talian yang didakwa dikendalikan oleh warga China di Manila, kata suruhanjaya anti jenayah negara itu.
Menurut Utusan Malaysia, siasatan mendapati premis di pinggir bandar itu beroperasi sebagai pusat penipuan, menyasarkan mangsa di China dan India melalui pertaruhan sukan skim pelaburan.
“Selepas serbuan pada Khamis, seramai 137 warga China ditahan. Kami juga turut menahan lima dalang utama sindiket warga China. Mereka bakal berdepan tuduhan pemerdagangan manusia,” kata Ketua Suruhanjaya, Gilberto Cruz.
Presiden, Ferdinand Marcos Jr. telah mengharamkan pengendali perjudian dalam talian Filipina (POGO) tahun lalu, selepas operasi ini dikaitkan dengan jenayah terancang, termasuk pemerdagangan manusia, pengubahan wang haram, penipuan dalam talian, penculikan, dan juga pembunuhan.
“Serbuan ini membuktikan bahawa pekerja POGO sebelum ini masih cuba meneruskan aktiviti penipuan mereka walaupun sudah diharamkan,” kata Cruz.
Beliau sebelum ini memberitahu bahawa kira-kira 21,000 warga China terus menjalankan operasi penipuan berskala lebih kecil di negara itu sejak larangan permainan dalam talian dikuatkuasakan.
Kebimbangan antarabangsa semakin meningkat berhubung sindiket penipuan dalam talian di Asia, yang sering mengeksploitasi mangsa pemerdagangan manusia untuk mempromosikan pelaburan mata wang kripto palsu dan pelbagai skim penipuan lain.
Marcos menjadikan isu POGO sebagai salah satu mesej utama dalam kempennya menjelang pilihan raya separuh penggal pada Mei, dengan mendakwa bekas Presiden, Rodrigo Duterte terlalu berlembut terhadap operasi perjudian dalam talian yang dikaitkan dengan China.
Serbuan Khamis lalu merupakan sebahagian daripada siri tindakan keras terhadap POGO tahun ini, termasuk satu serbuan pada Januari yang menyaksikan sekitar 400 warga asing, kebanyakannya warga China, ditahan di ibu negara.
Laporan oleh United States Institute of Peace, sebuah badan pemikir berpangkalan di Washington, mendapati sindiket penipuan dalam talian mensasarkan jutaan mangsa di seluruh dunia dan menjana pendapatan tahunan sehingga AS$64 bilion (RM282 bilion) pada 2024.


































