BANGKOK: Thailand merekodkan 107,570 kes influenza, dengan sembilan kematian setakat ini, menurut Kementerian Kesihatan Awam.
Menurut Utusan Malaysia, Jurucakap Jabatan Kawalan Penyakit, Dr. Jurai Wongsawat berkata, jumlah kes baharu meningkat 15,000 seminggu, berbanding 10,000 kes seminggu pada tempoh sama 2024.
Katanya, kebanyakan kes jangkitan ditemukan dalam kalangan kanak-kanak berusia lima hingga sembilan tahun, diikuti kanak-kanak bawah empat tahun serta mereka yang berusia antara 10 hingga 14 tahun.
“Strain virus yang paling biasa ditemukan adalah A/H1N1 (2009). Daripada sembilan kematian, yang termuda berusia 11 tahun dan yang tertua berusia 86 tahun. Kesemua mereka divaksinasi influenza,” katanya.
Sepuluh negeri yang mencatatkan kes influenza tertinggi adalah Phayao, Lamphun, Chiang Rai, Phuket, Chiang Mai, Lampang, Bangkok, Nan, Ubon Ratchathani dan Nonthaburi.
Kadar jangkitan tertinggi dilaporkan di sekolah, penjara dan kem tentera.
Dr Jurai berkata, kes influenza menunjukkan peningkatan setiap tahun, terutama sejak kelonggaran langkah pencegahan pandemik Covid-19.
Selain itu, faktor persekitaran juga memainkan peranan penting terutama tahun lalu, apabila cuaca sejuk berpanjangan menyebabkan peningkatan penyakit pernafasan, katanya.
“Statistik menunjukkan bahawa influenza merebak dengan cepat dalam kalangan kanak-kanak. Oleh itu, disyorkan agar sekolah menguatkuasakan langkah-langkah ketat untuk mengawal jangkitan.
“Jika seorang kanak-kanak disahkan menghidap influenza, mereka perlu berada di rumah sekurang-kurangnya tiga hingga lima hari untuk mengelakkan jangkitan tersebar,” katanya.
Dr Jurai turut menyarankan orang ramai mendapatkan vaksin influenza setiap tahun, terutama bagi mereka yang berada dalam kumpulan berisiko tinggi, termasuk kanak-kanak berusia enam bulan hingga dua tahun, wanita hamil, warga emas berusia lebih 65 tahun, individu obesiti dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan kronik.


































