LIMA: Pihak berkuasa Peru mengancam untuk mengenakan tindakan tegas dan denda selepas rekod perubatan bintang pop terkenal, Shakira bocor ketika dirawat di sebuah klinik di Lima, semalam.
Menurut Utusan Malaysia, penyanyi dan penulis lagu Colombia berusia 48 tahun itu, dibawa ke bilik kecemasan pada 15 Februari akibat masalah perut yang memaksa beliau menunda konsert keesokannya.
Laporan perubatan pemenang Grammy itu tersebar di media sosial tidak lama selepas dimasukkan ke hospital, yang mencetuskan kemarahan peminat sebelum siasatan rasmi dibuat.
Jurucakap badan pemantau perkhidmatan kesihatan negara Peru, Ruby Cubas memberitahu AFP, siasatan sedang dijalankan dan klinik tersebut berdepan denda hingga AS$430,000 (RM1.9 juta).
“Semalam (Isnin), kami telah mengunjungi klinik dan bertemu dengan pihak pengurusan mereka dan memberikan penjelasan namun (maklumat) dirahsiakan,” kata Cubas yang memaklumkan siasatan dijangka berlangsung selama 25 hari.
Klinik Delgado, lokasi Shakira dirawat turut mengesahkan bahawa mereka sedang menyiasat pelanggaran etika serius berkaitan pengendalian data peribadi.
“Kami mengenal pasti individu yang bertanggungjawab dan sedang memulakan proses tindakan disiplin,” kata klinik itu dalam satu kenyataan.
Shakira kini mengadakan jelajah dunia pertamanya selepas tujuh tahun dan dijadualkan mengadakan hampir 50 persembahan di Amerika Latin menjelang akhir Jun, sebelum melanjutkan siri konsert di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada.
Jelajah dinamakan ‘Las mujeres ya no lloran’ (Wanita Tidak Menangis Lagi) itu dimulakan di Rio de Janeiro, beberapa hari selepas beliau menerima Grammy untuk album pop Latin terbaik.
Penyanyi itu turut mendedikasikan anugerah tersebut kepada golongan imigran di AS yang berdepan risiko diusir di bawah pemerintahan Presiden, Donald Trump.
Dengan lebih 90 juta rekod terjual di seluruh dunia dan pelbagai anugerah, Shakira adalah salah seorang artis Latin paling popular sepanjang zaman.


































