SEOUL: Pihak berkuasa Korea Selatan hari ini mengumumkan aplikasi DeepSeek tidak akan tersedia dalam aplikasi tempatan sementara menunggu semakan terhadap cara syarikat pemula AI China itu mengendalikan data pengguna.
Menurut Utusan Malaysia, Naib Pengerusi Suruhanjaya Perlindungan Maklumat Peribadi Seoul, Choi Jang-hyuk berkata, aplikasi tersebut digantung sementara pihak berkuasa menyemak amalan pemprosesan data peribadi DeepSeek untuk memastikan pematuhan undang-undang tempatan.
DeepSeek melancarkan chatbot R1 pada Januari, mendakwa setanding AI di Amerika Syarikat (AS) dengan kos yang jauh lebih rendah.
Namun Korea Selatan, Perancis dan Itali mempersoalkan amalan pengendalian data DeepSeek dan mengemukakan permintaan bertulis mengenai cara syarikat itu mengendalikan data pengguna.
Dalam satu kenyataan akhbar, agensi perlindungan data Seoul berkata, DeepSeek mengaku kekurangan pertimbangan terhadap undang-undang privasi domestik.
Tambah kenyataan itu, ia akan mengambil masa bagi memastikan aplikasi tersebut mematuhi undang-undang privasi tempatan.
“Bagi mengelakkan kebimbangan, suruhanjaya mencadangkan agar DeepSeek menangguhkan sementara perkhidmatannya bagi tujuan penambahbaikan,” katanya sambil menambah DeepSeek menerima cadangan tersebut.
Aplikasi tersebut dikeluarkan dari gedung aplikasi tempatan pada 15 Februari lalu, pukul 6 petang waktu tempatan.
DeepSeek versi Korea Selatan tidak tersedia di aplikasi Apple bermula kelmarin namun, pengguna yang memuat turun aplikasi tersebut masih boleh menggunakannya.
“Pengguna sedia ada amat disyorkan untuk menggunakan aplikasi itu dengan berhati-hati sehingga keputusan akhir diumumkan, termasuk mengelakkan memasukkan maklumat peribadi ke dalam medan input DeepSeek,” kata agensi perlindungan data itu.


































