Ketua pembangkang Singapura dan Setiausaha Agung Parti Pekerja, Pritam Singh, tiba di mahkamah untuk mendengar keputusan perbicaraan di Singapura.
SINGAPURA: Ketua pembangkang Singapura, Pritam Singh, didapati bersalah pada Isnin, kerana berbohong kepada jawatankuasa Parlimen, dalam usaha membantu seorang ahli partinya menutup pembohongan berhubung keterangan saksi palsu.
Menurut Utusan Malaysia, keputusan itu boleh menyebabkan beliau hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya umum yang dijangka tahun ini.
Singh, 48, yang merupakan Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP), didapati bersalah oleh Mahkamah Daerah Singapura dalam satu kes yang menjadi tamparan hebat kepada pembangkang negara itu.
Pembangkang kini berusaha untuk mencabar dominasi luar biasa Parti Tindakan Rakyat (PAP), yang memerintah negara sejak 1959.
Hakim Mahkamah Daerah, Luke Tan berkata, Singh gagal mengambil langkah mencukupi untuk memastikan Ahli Parlimen baharu, Raeesah Khan, mengaku beliau berbohong di Parlimen.
Kes itu berpunca daripada pembohongan Khan di parlimen pada 2021, apabila beliau mendakwa seorang pegawai polis mengeluarkan ‘komen tidak sensitif’ terhadap mangsa rogol wanita yang didakwa ditemaninya untuk membuat laporan polis.
Namun, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam, kemudian mendedahkan tiada rekod dalam fail polis mengenai kejadian tersebut, menyebabkan Khan akhirnya mengaku hanya mereka cerita itu.
Singh didakwa cuba meremehkan peranannya dalam kes berkenaan dengan memberitahu jawatankuasa parlimen bahawa beliau tidak menyedari pembohongan Khan, sesuatu yang dipertikaikan oleh mahkamah.
Hukuman terhadap Singh akan ditetapkan pada tarikh lain, dengan sabitan kesalahan itu berkemungkinan besar menjejaskan peluangnya untuk bertanding dalam pilihan raya umum.
Di bawah perlembagaan, seseorang yang didenda sekurang-kurangnya S$10,000 (RM33,043) atau dipenjara sekurang-kurangnya setahun, akan hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya atau memegang kerusi parlimen selama lima tahun.
Singh berdepan hukuman maksimum tiga tahun penjara dan denda sehingga S$7,000 (RM23,130) bagi setiap pertuduhan.
Pejabat Peguam Negara sebelum ini menyatakan, pendakwaan akan memohon denda bagi setiap pertuduhan.


































