Muhammad Khairani Fauzan Muhammad Khairul Anam – WSSA Asian Open Sport Stacking Championship 2024
KOTA KINABALU: Pendidikan bukan sekadar berlangsung dalam bilik darjah, tetapi diperkukuh melalui sokongan padu di rumah dan dalam komuniti.
Kejayaan seorang murid bukan hanya hasil usaha individu, sebaliknya refleksi hubungan erat antara guru, ibu bapa dan pelajar itu sendiri.
Apabila semua pihak berganding bahu, mereka mampu mencipta persekitaran pembelajaran yang kondusif, membentuk sahsiah unggul, serta mendorong pencapaian akademik dan kokurikulum yang luar biasa.

IAEA Challenge: Innovative Ideas to Attract and Develop Young Talents in STEM.
Tahun 2024 menjadi detik gemilang buat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) SANZAC apabila kejayaan demi kejayaan berjaya diraih di peringkat antarabangsa, kebangsaan, dan negeri.
Pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan dedikasi murid-muridnya tetapi juga hasil sinergi mantap antara guru dan ibu bapa dalam mencorak kecemerlangan pendidikan.
Dari bidang inovasi dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) hingga sukan serta seni kreatif, SMK SANZAC membuktikan bahawa ia bukan sekadar sebuah institusi pendidikan, tetapi juga pemacu kejayaan generasi masa depan di pentas dunia.
Sejarah Kecemerlangan SMK SANZAC
Ditubuhkan pada tahun 1969, SMK SANZAC membawa nama yang penuh makna, diambil sempena Sabah, Australia, New Zealand Army Corps (SANZAC) sebagai penghormatan kepada pasukan tentera yang pernah berkhidmat di Sabah semasa Perang Dunia Kedua.

International Atomic Melody Competition 2024.
Bermula sebagai sebuah sekolah sederhana, ia kini menjadi simbol kecemerlangan pendidikan dengan pencapaian hebat di pelbagai peringkat.
Perjalanan lebih lima dekad ini mencerminkan komitmen sekolah untuk membentuk generasi pelajar yang berwibawa dan berdaya saing, bersedia mengharungi cabaran dunia moden dengan ilmu dan kemahiran yang mantap.
Harumkan Nama Malaysia di Persada Antarabangsa
Pencapaian antarabangsa yang membanggakan pada tahun 2024 antaranya ialah kemenangan dua pasukan murid dalam International Atomic Melody Competition 2024 anjuran Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Pasukan yang terdiri daripada Muhammad Irfan Roslan, Josephine Lavung Kubik, Fefy Mashita Shamsul, dan Elvera Anabel Alexander Diaz dinobatkan antara tujuh pemenang terbaik.

UNESCO Clubs Worldwide Youth Multimedia Competition.
Kejayaan ini melayakkan mereka menyertai lawatan sambil belajar ke Jepun pada 2025 dengan tajaan penuh IAEA. Menurut Muhammad Irfan, kejayaan ini adalah hasil semangat kerjasama yang erat antara mereka dan bimbingan guru-guru berpengalaman.
“Sesi kolaboratif antara guru dan murid berjaya menghasilkan karya kreatif untuk tontonan masyarakat dunia,” katanya yang turut aktif dalam penerbitan melalui TV Pusat Sumber Sekolah (TVPSS) SMK SANZAC.
Selain itu, Muhammad Danish Agunawan, 17, turut mengukir nama dalam UNESCO Clubs Worldwide Youth Multimedia Competition dengan video kreatifnya bertajuk N4C: Nuclear for Change, meraih tempat ketiga.

Ajmal (kiri) dan Kuit Vui Ket (kanan) ketika menyertai program hadiah lawatan sambil belajar ke Vienna, Austria.
Bersama guru pembimbing Kuit Vui Ket dan pengetua Ajmal Jumah, beliau berpeluang menyertai lawatan sambil belajar ke Vienna, Austria sebagai penghargaan atas kejayaannya.
Selain Muhammad Danish, SMK SANZAC juga turut cemerlang melalui penglibatan Nur Emily Fazli Low, 18 dan rakannya Putri Khairina, 18 melalui pertandingan International Seed In Space Comic Book Contest anjuran IAEA dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO).
Pada pertandingan tersebut, Nur Emily dan Putri Khairina berjaya menyerlah dengan penghasilan komik digital berkonsepkan kesedaran memulihara benih bagi keterjaminan makanan.

International Seed In Space Comic Book Contest.
Penyertaan dua pelajar tersebut telah berjaya menempatkan nama SMK SANZAC dalam kalangan 10 finalis terbaik dunia dengan masing-masing menduduki tempat kelima dan keenam pada pertandingan tersebut.
Guru dan Murid Berganding Bahu dalam Inovasi
Empat guru SMK SANZAC turut melakar sejarah apabila projek mereka, NST-Stream Clusive, memenangi tempat ketiga dalam IAEA Challenge: Innovative Ideas to Attract and Develop Young Talents in STEM. Kejayaan ini membawa mereka ke Moscow untuk lawatan akademik.
Menurut Kuit Vui Ket, seorang guru sains di sekolah itu, penyertaan guru dalam pertandingan inovasi adalah penting untuk memastikan pendidikan sentiasa relevan dan inovatif.

JUARA… Azhar (tengah) ketika ditemui media sejurus menjuarai kejohanan badminton MSSM 2024 acara beregu lelaki B18 sambil disaksikan oleh rakan sepasukan (kiri).
“Kami harus sentiasa bersedia dengan perubahan, dan pertandingan seperti ini menguji sejauh mana kami mampu menyediakan generasi akan datang dengan ilmu yang bermanfaat,” ujarnya.
Sukan dan Pendidikan Khas: Membina Juara Dunia
Dalam arena sukan, Muhammad Khairani Fauzan Muhammad Khairul Anam, murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), mencipta sejarah dengan membawa pulang empat pingat emas dalam WSSA Asian Open Sport Stacking Championship 2024 di Shah Alam.
Kejayaan ini membuktikan bahawa murid berkeperluan khas juga mampu bersaing di pentas antarabangsa jika diberikan peluang dan sokongan.

Sharlinie Valerie Voo Wen Qin.
Dalam sukan taekwondo, Mohammad Daniyal Adizan Yuzaidi menjuarai Kejohanan Taekwondo Remaja, Terbuka & Jemputan Antarabangsa Negeri Sabah Kali ke-9, mengukuhkan reputasinya sebagai atlet muda berbakat.
Di samping itu, Muhammad Nur Azhar Zunaide muncul johan beregu lelaki B18 dalam Kejohanan Badminton MSSM 2024, melayakkannya menyertai Sri Lanka International Series 2024.
Dalam sukan renang, Sharlinie Valerie Voo Wen Qin, 16, murid PPKI, memenangi tiga pingat emas dalam Kejohanan Para SUKMA 2024 di Sarawak. Sementara itu, Mohammad Danish Hakim Fadzilah @ Fadzil, 14, mula mencipta nama di arena boling antarabangsa selepas meraih tempat kedua dalam Peter Yap Cup National Championships 2023 dan keempat dalam Sirkit Remaja Kebangsaan Boling Tenpin 2024.

Mohammad Danish Hakim Fadzilah – Sukan Boling Tenpin.
Sokongan Padu Membawa Kejayaan
Pengetua SMK SANZAC, Ajmal Jumah, mengakui bahawa kejayaan sekolah ini adalah hasil usaha gigih murid, dedikasi guru, serta sokongan padu daripada ibu bapa dan pihak berkepentingan seperti Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Sabah, dan Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu.
“Kami akan terus menyokong murid-murid dalam semua bidang, sama ada akademik, kokurikulum, atau inovasi.
“Sebagai sekolah bersejarah dengan rekod pencapaian gemilang, SMK SANZAC akan terus menjadi inspirasi kepada institusi pendidikan lain di Malaysia,” jelasnya.
Dengan rekod pencapaian yang cemerlang, SMK SANZAC bukan sekadar sebuah sekolah, tetapi sebuah institusi yang terus melahirkan generasi pemimpin masa depan, bersedia menghadapi cabaran dunia dengan penuh keyakinan dan kecemerlangan.