Rafizi Ramli
KUALA LUMPUR: Ketidaksamaan di Malaysia ketika ini adalah perkara mendesak untuk ditangani oleh kerajaan dalam memastikan dapat mencapai sasaran menjadi negara berpendapatan tinggi, menurut Menteri Ekonomi.
Menurut Utusan Malaysia, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, dalam melaksanakannya, semua pihak perlu melihat kepada penilaian holistik terhadap ketidaksamaan, intervensi awal terhadap jurang peluang dan pasaran buruh yang dinamik.
“Penilaian secara mendatar tidak boleh hanya menumpukan kepada ketaksamaan dari segi pendapatan semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira akses dan kualiti pendidikan, kesihatan, perkhidmatan awam lain, selain peluang pekerjaan, pulangan terhadap pendidikan, peranan kejutan ekonomi serta dasar fiskal.
“Malaysia juga perlu menilai secara menegak dengan menyelami kumpulan-kumpulan tertentu secara lebih mendalam,” katanya selepas merasmikan Laporan Bank Dunia mengenai Mengurangkan Ketidaksamaan dan Memperkukuh Mobiliti di Malaysia di sini semalam.
Menurut laporan, pada 2022, hanya 13 peratus daripada ketaksamaan pendapatan di Malaysia boleh dijelaskan oleh perbezaan dalam purata pendapatan antara kaum.
Sebanyak 87 peratus daripada ketidaksamaan ini sebenarnya wujud dalam setiap kumpulan tersebut.
Sebagai contoh, jurang antara Bumiputera yang miskin dan kaya adalah jauh lebih besar berbanding perbezaan antara purata pendapatan Bumiputera dan purata pendapatan bukan Bumiputera.
Rafizi berkata ketidaksamaan ini amat dirasai oleh penduduk, dengan 70 peratus rakyat Malaysia percaya jurang antara kaya dan miskin adalah ‘luas’ atau ‘sangat luas’ dan isu itu telah menjadi topik utama dalam perbincangan awam.
“Kekayaan kekal sangat tertumpu dalam kalangan golongan elit kecil, menghalang kemajuan ekonomi yang lebih luas dan memperdalam jurang dalam masyarakat Malaysia,” tambahnya.
Jumlah penduduk Malaysia pada 2024 dianggarkan berjumlah 34.1 juta dan ekonomi bersedia untuk pertumbuhan berterusan pada 2025.
Rafizi berkata, ketidaksamaan memberikan beberapa cabaran termasuk pertumbuhan ekonomi terhalang apabila keuntungan tidak dikongsi sama rata.
“Selain itu, dalam negara berbilang kaum seperti Malaysia, kestabilan sosial bergantung kepada peluang yang sama untuk semua kumpulan.
“Jika anak muda Malaysia merasakan mobiliti ke atas tidak dapat dicapai, ia boleh melemahkan semangat mereka, menjejaskan usaha mereka untuk berjaya melalui kerja keras dan pendidikan,” ujarnya.
Bagi menangani situasi itu, Rafizi berkata, kerajaan telah memutuskan untuk campur tangan secara langsung dalam pasaran buruh melalui Dasar Gaji Progresif (PWP) dan meningkatkan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700.
“Kementerian ekonomi telah melengkapkan program perintis PWP tahun lepas, dan 2025 akan menjadi tahun peningkatan,” katanya.


































