TAIPEI: Taiwan melarang pekerja sektor awam serta kemudahan infrastruktur utama daripada menggunakan DeepSeek, dengan alasan ia merupakan produk dari China yang boleh mengancam keselamatan negara.
Menurut Utusan Malaysia, Kementerian Hal Ehwal Digital Taiwan menyatakan semua agensi kerajaan dan infrastruktur kritikal tidak boleh menggunakan DeepSeek kerana ia mengancam keselamatan maklumat negara.
“Perkhidmatan AI DeepSeek adalah produk dari China.
“Operasinya melibatkan penghantaran data rentas sempadan serta risiko kebocoran maklumat dan isu keselamatan lain.” kata kementerian itu.
Bulan lalu, DeepSeek melancarkan chatbot R1, dengan dakwaan teknologinya menyamai keupayaan gergasi kecerdasan buatan (AI) di AS, tetapi dengan kos pelaburan yang jauh lebih rendah.
Negara seperti Korea Selatan, Ireland, Perancis, Australia dan Itali mempertikaikan amalan pengurusan data syarikat AI dari China tersebut.
Taiwan sejak sekian lama menuduh China menggunakan taktik ‘zon kelabu’, iaitu tindakan yang tidak sampai ke tahap peperangan tetapi termasuk serangan siber, sebagai sebahagian daripada usaha Beijing untuk menegaskan tuntutan kedaulatan ke atas pulau itu.
Sejak 2019, Taiwan melarang agensi kerajaan daripada menggunakan produk dan perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang menimbulkan ancaman kepada keselamatan maklumat negara.
DeepSeek mencetuskan kegemparan di Wall Street minggu ini, selepas pelancaran chatbot berkuasa tinggi yang didakwa mampu menandingi syarikat-syarikat AS tetapi dengan kos yang lebih rendah.
Kejayaan ini berlaku meskipun sekatan ketat AS menghalang syarikat China daripada mendapatkan cip-cip canggih yang diperlukan untuk melatih model AI berskala besar.
Larangan oleh Taiwan ini dibuat seiring dengan tindakan badan pemantau data di Korea Selatan dan Ireland, yang kini meminta DeepSeek untuk menjelaskan bagaimana ia menguruskan maklumat peribadi pengguna.
































