PETALING JAYA: Syarikat pemula dari China, DeepSeek yang melancarkan model kecerdasan buatan (AI) baru-baru ini dipercayai dapat membantu meningkatkan kecekapan perkhidmatan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), inovasi produk serta perkhidmatan dalam industri teknologi.
Menurut Utusan Malaysia, secara positifnya, model AI itu berupaya mempercepatkan dan mengoptimumkan usaha perkhidmatan awam dan swasta dalam memberi perkhidmatan dan pengeluaran produk.
Profesor Kewangan dan Keusahawanan di Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Datuk Dr. Nik Maheran Nik Muhammad berkata, melabur dalam pemula teknologi, sektor berpotensi tinggi dan pendidikan teknologi akan memanfaatkan DeepSeek untuk mempercepatkan transformasi digital Malaysia dan serantau.
“Kerajaan dan pelabur tempatan perlu membangunkan infrastruktur data, meningkatkan kemahiran tenaga kerja dan menyediakan insentif kewangan.
“Hal ini akan membantu dalam inovasi produk, penyelidikan saintifik, pemasaran pintar, penjagaan kesihatan, pendidikan dan pengurusan risiko.
“Walaupun cabaran seperti privasi data dan ketergantungan teknologi wujud, DeepSeek berpotensi besar untuk mempercepat inovasi dan transformasi digital dalam pelbagai bidang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Umi Hamidaton Mohd. Soffian Lee berkata, DeepSeek merupakan perkembangan pasaran dan produk tempatan melalui inovasi yang inovatif sesuai dengan kehendak semasa.
“Model AI ini boleh membantu mengurangkan kos operasi, mengoptimumkan rantaian bekalan dan mengurangkan kos pengurusan.
“Dalam konteks industri pembuatan, kewangan dan perkhidmatan ia akan mengurangkan kos operasi dan pengurusan, jimat masa serta tenaga kerja melalui keupayaan untuk mengolah dan analisis data,” katanya.
Dekan Fakulti Pendidikan Teknikal Dan Vokasional, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Ts. Dr. Mohd. Hasril Amiruddin pula berpandangan, aplikasi AI seperti DeepSeek boleh digunakan untuk menyediakan analisis pasaran dan keperluan industri, yang membantu pelajar bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Jelasnya, ini dapat menyesuaikan kemahiran mereka mengikut kehendak semasa industri, serta meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam kemahiran tertentu.
“Dalam bidang TVET, AI boleh digunakan untuk mengautomasikan tugas-tugas rutin, seperti pemantauan kemajuan atau pengurusan sumber. Ini memberi lebih masa kepada pengajar untuk memberi perhatian lebih kepada aspek praktikal dan interaksi dengan pelajar.
“Namun, teknologi AI lain, terdapat kebimbangan bahawa automasi dalam bidang TVET, terutama dalam kerja yang berulang atau rutin dan berkemungkinan mengurangkan keperluan untuk tenaga kerja manusia dalam beberapa sektor.
“Ini boleh memberi kesan kepada peluang pekerjaan untuk beberapa golongan dalam industri teknikal disamping ketergantungan yang berlebihan pada teknologi AI boleh menyebabkan kekurangan kemahiran praktikal dan kemahiran penyelesaian masalah,” katanya.
Menurut laporan Reuters minggu lalu, DeepSeek, melancarkan pembantu AI percuma yang dikatakan menggunakan data yang lebih sedikit pada kos yang jauh lebih rendah berbanding perkhidmatan sedia ada.
Aplikasi itu telah mengatasi pesaing dari Amerika Syarikat (AS), ChatGPT, dalam jumlah muat turun dari kedai aplikasi Apple.


































