CAERNARFON: Seorang wanita di Britain mencetuskan kekecohan di mahkamah selepas didakwa menghantar beberapa video dirinya melepaskan kentut kepada bekas teman wanita pasangannya.
Menurut Utusan Malaysia, Rhiannon Evans, 25, dipercayai menjadi individu pertama yang berdepan pertuduhan ‘kentut siber’ selepas melakukan perbuatan itu ketika musim perayaan Krismas lalu.
Mangsa, Deborah Prytherech, mendakwa video yang dihantar itu menyebabkan dirinya mengalami tekanan emosi dan kebimbangan.
Pendakwa raya, Diane Williams dalam keterangannya di Mahkamah Caernarfon berkata, Evans merakamkan aksinya dengan meletakkan kamera pada bahagian punggung sebelum melepaskan kentut.
Menurutnya, wanita itu menghantar tiga video pada 22 Disember, diikuti empat lagi sepanjang tempoh perayaan termasuk pada Hari Boxing Day dan Tahun Baharu.
“Setiap video menunjukkan Evans membuang angin sambil tersenyum ke arah kamera,” kata Williams.
Pihak polis yang menerima aduan kemudiannya menahan Evans sebelum membawanya ke mahkamah untuk didakwa.
Dalam pembelaannya, peguam Evans berkata, tindakan Evans berpunca daripada ketegangan hubungan antara pasangan Evans dan bekas kekasihnya berhubung hak penjagaan anak.
“Pada waktu kejadian, anak guam saya telah mengambil minuman keras dan tidak menyedari bahawa perbuatannya boleh menyebabkan tekanan kepada mangsa. Dia tidak berniat jahat,” jelasnya.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan menegaskan Evans jelas berniat mempersendakan mangsa berdasarkan raut wajahnya yang tersengih dalam setiap rakaman itu.
Mahkamah memerintahkan Evans membayar hampir 300 pound (RM1,646) termasuk pampasan sebanyak 100 pound (RM 548) kepada mangsa dan kos mahkamah sebanyak 199 pound (RM 1,092).
Dia turut diarahkan menjalani 15 sesi pemulihan serta dilarang mengambil alkohol selama dua bulan selain dikenakan perintah larangan selama dua tahun daripada menghubungi mangsa.
Dalam kenyataannya kepada mahkamah, Prytherech berkata, insiden tersebut menyebabkan dia berasa tidak selamat di rumahnya sendiri.
































