KOTA KINABALU: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Ewon Benedick mengalu-alukan komitmen Ketua Menteri Sabah Datuk Haji Hajiji Haji Noor untuk meningkatkan hasil dalam negeri Sabah.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, beliau bersedia bekerjasama dengan pimpinan Sabah dalam usaha meningkatkan lagi kutipan hasil Kerajaan Sabah.
“Saya percaya kenyataan Ketua Menteri itu adalah berasaskan pencapaian dalam dua tahun ini.
“Sememangnya hasil Kerajaan Sabah telah meningkat dan PH Sabah berbangga menjadi sebahagian daripada pimpinan yang menyumbang kepada peningkatan hasil negeri.
“Antaranya pemberian khas dibawah Perkara 112D di mana kita telah meningkatkan interim pembayaran daripada RM306 juta kepada RM600 juta bermula pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina yang dihoskan oleh Datuk Phoong Jin Zhe, Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah yang juga Pengerusi Democratic Action Party (DAP) Sabah serta kepimpinan DAP Sabah.
Ewon yang juga Peresiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) diminta mengulas kenyataan Hajiji baru-baru ini yang menyatakan bahawa kutipan hasil negeri akan mencapai lebih RM8 bilion dalam tempoh tiga tahun lagi, jika Gabungan Rakyat Sabah-Pakatan Harapan (GRS-PH) Plus diberi mandat sekali lagi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Mengenai majlis itu, Ewon berkata, kebersamaan dalam sambutan Tahun Baharu Cina yang dihadiri pelbagai lapisan masyarakat akan terus menyemarakkan lagi perpaduan yang sedia terjalin di kalangan rakyat negara ini.
“Semoga kepimpinan DAP Sabah terus cemerlang memperjuangkan pembangunan rakyat dan negara,” katanya.
Hadir bersama ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud Datuk Mustapha Sakmud; Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin, Pengerusi Koperasi Pembangunan Desa Jannie Lasimbang dan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Nelson Angang.
































