BEIJING: China berhasrat untuk memperkukuhkan pendidikan jasmani di sekolah, menjadikannya sebagai teras kurikulum dan bukan sekadar subjek sampingan.
Menurut Utusan Malaysia, langkah itu dibuat ketika negara tersebut menggalakkan pendidikan holistik di tengah kebimbangan terhadap peningkatan kadar obesiti kanak-kanak.
Kementerian Pendidikan China berkata, sekolah rendah dan menengah mesti memastikan guru pendidikan jasmani diberi layanan setaraf dengan pendidik subjek penting, seperti Bahasa Cina, matematik dan bahasa Inggeris.
Ia turut menggesa usaha membangunkan sukan utama seperti bola sepak, bola keranjang dan bola tampar dipergiatkan, kata kementerian seperti dilapor agensi berita Xinhua.
“Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha meluas untuk pendekatan pendidikan holistik, menggabungkan kecergasan fizikal dengan pembangunan akademik bagi melahirkan pelajar serba boleh yang bersedia untuk masa depan,” katanya.
Pendekatan itu diambil selepas China mengeluarkan rancangan kebangsaan pertamanya pada Januari untuk membina negara pendidikan yang kukuh menjelang 2035.
Dasar tersebut termasuk mewajibkan pelajar sekolah rendah dan menengah untuk menjalani sekurang-kurangnya dua jam aktiviti fizikal setiap hari bagi mengawal kadar rabun jauh dan obesiti.
Pada pertengahan 2022, terdapat kekurangan kira-kira 120,000 guru pendidikan jasmani di seluruh negara, dengan kawasan luar bandar paling terjejas, lapor Xinhua.
Langkah terbaharu itu akan menggalakkan pengambilan atlet bersara dan veteran tentera bagi membantu mengisi kekosongan tersebut.
Guru pendidikan jasmani akan menerima imbuhan sama seperti pengajar subjek lain, dengan pelarasan gaji berasaskan prestasi untuk tugas sukan selepas sekolah dan latihan pasukan.
Kadar obesiti dalam kalangan remaja meningkat sejak 2019 akibat penurunan aktiviti fizikal semasa sekatan Covid-19 dan peningkatan pembelian makanan ringan secara dalam talian.
Doktor menjangkakan kadar obesiti akan terus meningkat dalam tempoh 10 hingga 12 tahun akan datang kerana kelembapan ekonomi dan perubahan struktur yang mendorong tabiat pemakanan tidak sihat serta kurang aktiviti fizikal.


































