Pengerusi PUSPANITA Cawangan Bandaraya Kota Kinabalu Datin Adreen Aderizza Mohamad Soffi (dua dari kanan) menerima penghargaan kerjasama bagi menjayakan program 25th Silver Jubilee City Ride yang akan berlangsung pada 22 Februari ini daripada Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Robert Lipon (tiga dari kiri) sambil disaksikan Sabin (tengah).
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mempertingkatkan keselamatan kawasan perkadaran melalui pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) bermula tahun ini.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, fasa pertama akan melibatkan pemasangan sebanyak 1,500 unit CCTV yang akan meliputi kawasan strategik seperti pusat bandar, kawasan komersial, perumahan, dan kawasan pantai.
“Projek ini merupakan kerjasama antara DBKK dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi meningkatkan tahap keselamatan dan pengawasan bandaraya ini melalui pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) pintar.

Antara media yang hadir pada Majlis Kupi-Kupi Mayor Bersama Media di SICC, pada Jumaat.
“Inisiatif ini akan memperkukuh keselamatan penduduk tempatan dan pelancong, sekali gus mewujudkan persekitaran bandaraya yang lebih selamat.”Pemasangan CCTV pintar ini dilengkapi teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) yang mampu memantau aktiviti di kawasan berisiko tinggi secara real-time.
“Dengan keupayaan ini, kita dapat mengenal pasti kejadian jenayah seperti kecurian kabel elektrik dan kerosakan awam, serta mengambil tindakan pantas untuk mengatasinya,” katanya ketika ditemui media pada sidang media Majlis Kupi-Kupi Mayor Bersama Media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini.
Tambah beliau, dengan adanya peralatan tersebut ia turut memudahkan pihak keselamatan untuk memantau lokasi tumpuan umum seperti Teluk Likas, kawasan pantai, serta beberapa kawasan perumahan dalam menangani isu kecurian dan kerosakan harta benda.
“Sistem ini akan disokong oleh sebuah pusat kawalan (command center) yang akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan keberkesanan tindakan dan operasi pemantauan,” jelasnya.
Sabin juga turut menekankan kepentingan usaha ini dalam mewujudkan keyakinan pelancong dan pelawat terhadap aspek keselamatan di Kota Kinabalu.
Beliau percaya bahawa pengawasan yang lebih baik akan memperkukuh imej bandar raya sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.
“Pelaksanaan ini akan memastikan pelawat merasa lebih selamat selain membantu meningkatkan reputasi Kota Kinabalu di peringkat global.
“Walaupun dana untuk keseluruhan projek masih dalam peringkat perbincangan, komitmen daripada pihak MCMC dan DBKK memberi harapan bahawa pelaksanaan projek dapat berjalan lancar mengikut jadual.
“Setiap fasa pemasangan bergantung kepada sumber dana yang disalurkan dan bagi fasa pertama, kita memberi tumpuan kepada kawasan utama di sekitar pusat bandar dan kawasan yang berisiko tinggi,” ujar beliau.
Menurutnya, selain meningkatkan pengawasan, DBKK turut mempergiatkan usaha pendidikan kepada warga bandaraya agar lebih bertanggungjawab dan peka terhadap penjagaan kebersihan persekitaran.
“Tindakan penguatkuasaan akan diteruskan terhadap mereka yang melanggar peraturan, termasuk mengenakan kompaun RM30 kepada mana-mana individu yang membuang sampah secara haram yang menjejaskan kebersihan dan imej bandaraya,” katanya lagi.
Sabin turut menyeru semua pihak termasuk penduduk dan pengunjung agar terus bekerjasama dalam menjayakan inisiatif tersebut. Hadir sama Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor; Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Datuk Muguntan Vanar serta Ketua Pengarah DBKK Sr Lifred Wong.






























