BANGKOK: Seorang kanak-kanak berusia enam tahun mengalami renjatan elektrik daripada permainan mesin di sebuah pusat beli-belah di Thailand.
Menurut Utusan Malaysia, dakwaan awal menyatakan mangsa terkena renjatan disebabkan oleh elektrik statik, namun siasatan lanjut mendapati insiden tersebut berpunca daripada kebocoran elektrik.
Kejadian yang berlaku semalam tular, selepas ibu kanak-kanak terbabit menyiarkan amaran mengenai bahan permainan mesin di pusat beli-belah di akaun Facebook We Are Consumers.
Menerusi hantaran itu, beliau memberi amaran kepada orang ramai mengenai potensi bahaya kebocoran elektrik daripada mesin permainan.
Insiden berlaku ketika beliau dan anaknya sedang membeli-belah dan mencuba permainan mesin berkenaan.
Mangsa, yang sedang membongkok untuk mengambil mainan dari bahagian bawah mesin, tiba-tiba menjerit apabila menekan butang, menunjukkan dia sedang mengalami kesakitan.
Ibunya memeriksa telapak tangan mangsa yang kelihatan kemerahan dan turut merasai renjatan elektrik ringan, namun tidak mengalami kecederaan.
Meskipun pusat beli-belah tersebut sudah mengambil tanggungjawab, wanita terbabit menjelaskan tujuan beliau memberi amaran adalah sebagai kesedaran dan tiada niat untuk mendapatkan pampasan.
Pengurus cawangan syarikat permainan mesin tersebut juga sudah menghubungi ibu kanak-kanak itu dan memohon maaf berhubung kejadian.
































