KUALA LUMPUR: Polis tidak menolak kemungkinan mangsa dua kes serangan yang berlaku secara terbuka di tempat awam di Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini dipercayai menjadi sasaran kumpulan jenayah tertentu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya kini menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti motif kedua-dua kejadian terbabit.
Katanya, berdasarkan siasatan awal, pihak polis tidak menolak kemungkinan mangsa menjadi sasaran suspek atau kumpulan jenayah tertentu yang ingin membalas dendam atau tidak berpuas hati dengan aktiviti-aktiviti yang dijalankan.
“Malah, elemen pembabitan sesebuah kumpulan kongsi gelap atau kumpulan jenayah terancang turut diambil kira dalam siasatan yang dijalankan.
“Namun, pada akhirnya, siasatan polis akan tetap tertumpu dan menjurus serta mengesan mereka yang terlibat dalam setiap kesalahan yang dilakukan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini kelmarin.
Menurutnya, selain mengesan pelaku atau suspek, latar belakang mangsa kejadian juga turut diambil kira bagi membantu pihak polis mengenal pasti motif sesuatu kejadian serangan.
Tegasnya, polis tidak akan sekali-kali membiarkan situasi ini melarat sehingga boleh mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam.
“Buat masa ini percayalah keadaan dan situasi keselamatan masih terkawal dan kami Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berusaha memastikan mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
“Saya tetap yakin dengan keupayaan semua pegawai dan anggota PDRM khususnya Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dalam mengesan individu atau kumpulan jenayah terancang yang mengganggu keharmonian dan keselamatan masyarakat di negara ini,” katanya.
Rabu lalu, seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun maut selepas ditembak ketika sedang menjamu selera di Taman Setia Indah, Johor Bahru.
Pada Khamis, empat individu cedera selepas ditetak dengan senjata berupa parang oleh sekumpulan lelaki bertopeng dalam serangan terbuka di sebuah restoran di Nilai, Negeri Sembilan, pada 9.40 malam Khamis.


































