Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Rungutan pengguna jalan raya terpaksa meredah kesesakan sehingga dua jam di Jalan Kundasang-Ranau akhirnya selesai apabila bakal dibina lorong tambahan untuk mengatasi masalah.
Selama ini, perjalanan yang mengambil masa selama 15 minit dari Pekan Kundasang ke Ranau boleh mencecah sehingga dua jam semasa musim cuti termasuk pada cuti hujung minggu disebabkan keadaan jalan yang tidak mempunyai laluan memotong.
Sekiranya ada lori treler mahupun kenderaan berat melalui jalan berkenaan, sukar untuk kenderaan lain memotong disebabkan kawasan berbukit-bukau dan banyak titik buta.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, memandangkan jalan itu adalah laluan utama dari Kota Kinabalu ke Sandakan, Tawau dan Lahad Datu, ada keperluan untuk lorong sedia ada ditambah bagi memudahkan kenderaan memotong.
“Banyak pengguna jalan raya yang menggunakan jalan berkenaan jadi, agak tidak masuk akal untuk perjalanan yang mengambil masa selama 15 minit boleh menjadi dua jam pada hujung minggu.
“Itu sebabnya kerajaan negeri bersedia menampung perbelanjaan membina lorong tambahan untuk memotong di Jalan Kundasang-Ranau, biarpun itu adalah jalan Persekutuan. Ini sebagai langkah sementara untuk mengurangkan kesesakan.
“Pada prinsipnya, kerajaan negeri tidak akan menunggu kerajaan Persekutuan jadi, lebih baik kita mengeluarkan belanja sendiri,” katanya.
Masidi selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan berkata, mereka sedang menunggu rekaan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum menentukan kos projek berkenaan dengan menyediakan maklumat teknikal bagi membolehkan pembinaan lorong tambahan.


































