Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menegaskan bahawa hukuman sebat di khalayak ramai tidak akan dilaksanakan di Sabah, meskipun terdapat sokongan terhadap pelaksanaan tersebut oleh Mufti Negeri Sabah, Datuk Ustaz Haji Bungsu @ Aziz Jaafar.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Exco Agama, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif menjelaskan bahawa pandangan yang dinyatakan oleh Mufti Negeri pada 3 Januari 2025 adalah pendapat peribadi dan tidak mewakili pendirian rasmi Kerajaan Negeri.
“Kerajaan Negeri melalui pihak berkuasa agama akan kekal dengan hukuman sedia ada bagi kesalahan ‘Takzir’, iaitu hukuman yang bentuknya tidak dinyatakan secara spesifik oleh syarak. Sabah tidak akan melaksanakan hukuman sebat di khalayak ramai seperti yang dilakukan di Terengganu baru-baru ini.
“Kita berpegang prinsip Fiqh Sabahi yang juga diperkenalkan oleh Mufti Sabah iaitu fiqh kebijaksanaan dan hikmah dalam pergaulan, menjalin hubungan dan bermasyarakat dan menjalankan nilai dakwah dan syiar Islamiah berdasarkan kehidupan pelbagai kaum dan agama di Sabah,” katanya.
Dr. Mohd. Arifin menekankan bahawa Sabah merupakan negeri yang unik dengan kepelbagaian kaum dan agama, di mana keharmonian, toleransi dan persefahaman menjadi asas kepada kehidupan masyarakat. Sebarang bentuk pelaksanaan hukum perlu mengambil kira sensitiviti dan nilai-nilai tersebut untuk mengekalkan keamanan.
Beliau turut menggesa agar isu ini tidak dipolitikkan atau dijadikan bahan perdebatan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat di Sabah.


































