Gambar Hiasan
LONDON: Seorang wanita maut selepas dipukul oleh suaminya akibat cemburu di Andover, Hampshire.
Menurut Utusan Malaysia, mangsa, Lucy-Anne Rushton, 30, malah dipaksa oleh suaminya, Shaun Dayson, 28, untuk menelan cincin perkahwinan sebelum dia dipukul sehingga mati.
Akhbar The Mirror melaporkan, insiden pada 23 Jun 2019 itu berlaku di hadapan anak-anak mereka.
Dayson bertindak kejam dengan menendang, menumbuk dan memijak tubuh isterinya sehingga mengakibatkan 37 tulang rusuk patah, tulang dada retak serta paru-paru remuk.
Wanita itu dikatakan sering menjadi mangsa penderaan yang berpanjangan sebelum dibunuh dengan kejam.
Sebelum kejadian, keluarganya telah beberapa kali membuat laporan polis mengenai insiden yang melibatkan pasangan tersebut.
Antara insiden terdahulu ialah Dayson pernah dirakam melakukan gangguan seksual terhadap Rushton pada hari ulang tahunnya yang ke 30 dan pernah memaki mangsa dengan memanggilnya ‘pelacur mabuk’.
Rushton kemudian ditemukan oleh seorang tetamu hotel dalam keadaan berlumuran darah pada wajah dan tangan.
Walaupun serangan itu sudah dimaklumkan kepada pihak polis, namun tindakan sewajarnya dilaporkan tidak pernah diambil.
Dyson dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dengan tempoh minimum 17 tahun.
Meskipun begitu, kes ini terus disiasat bagi memahami punca kelemahan tindakan pencegahan sebelum tragedi berlaku.
Tragedi ini mencetuskan desakan agar pihak berkuasa memperbaiki sistem perlindungan bagi mangsa keganasan rumah tangga dan memastikan keadilan dapat ditegakkan.


































