PETALING JAYA: Agihan keuntungan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi 2024 dijangka kekal pada kadar antara 3.1 peratus hingga 3.5 peratus, kata penganalisis.
Menurut Utusan Malaysia, penganalisis ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, TH masih banyak bergantung kepada pelaburan berpendapatan tetap yang memberikan kadar pulangan lebih rendah walaupun prestasi pelaburan institusi lain seperti Permodalan Nasional Bhd. (PNB) menunjukkan peningkatan.
“TH tidak mungkin dapat menyaingi prestasi PNB atau Amanah Saham Bumiputera (ASB) kerana struktur pelaburan mereka.
“Oleh itu, kadar dividen dijangka kekal sama seperti tahun sebelumnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain itu, beliau menyatakan bahawa sumber pendapatan tambahan seperti hasil sewaan mungkin tidak cukup signifikan untuk meningkatkan kadar dividen.
“Namun, jika TH mengambil kembali aset yang ditukar dengan aset pelaburan tetap dari Kementerian Kewangan, ia berpotensi memperbaiki prospek pelaburan pada masa hadapan,” ujarnya.
TH mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.1 peratus bagi tahun kewangan 2023, mengekalkan kadar yang sama untuk tahun keempat berturut-turut.
Dalam pada itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, agihan keuntungan dijangka sekitar 5.67 peratus hingga 5.97 peratus iaitu kekal pada 3.1 peratus hingga 3.3 peratus selepas ditolak zakat 2.57 peratus.
“TH dijangka mengekalkan momentum positif 2023 kepada hibah untuk 2024 seiring dengan pencapaian pengurus dana amanah lain seperti PNB dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Prestasi pelaburan TH juga memberangsangkan dengan perkembangan positif tanpa sebarang kerugian yang besar, keseimbangan portfolio pelaburannya iaitu antara pasaran ekuiti, hartanah dan simpanan tetap.
“Ini turut membantu mengimbangi pulangan pelaburan dengan risiko yang bersesuaian,” katanya.
Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, kemungkinan pulangan TH untuk tahun ini kekal pada paras yang sama atau sedikit meningkat berbanding tahun sebelumnya.
“Berdasarkan prestasi FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI), indeks telah menunjukkan peningkatan sekitar 12.9 peratus pada tahun lalu, manakala indeks hijrah yang melibatkan saham patuh syariah juga mencatat peningkatan sekitar 13 peratus berbanding 2024.
“Dari segi alokasi aset, lebih daripada separuh iaitu sekitar 54 peratus aset TH berada dalam bentuk pendapatan tetap seperti deposit bank dan pasaran wang.
“Dengan kadar faedah pada tiga peratus tahun lalu, aset ini dijangka terus memberikan pulangan yang stabil,” katanya.
Beliau berkata, berbanding dengan ASB yang hampir keseluruhan pelaburannya berada dalam pasaran saham dengan profil risiko dan pulangan yang tinggi, strategi TH yang lebih konservatif cenderung kepada risiko rendah.
“Walaupun pulangannya mungkin tidak setinggi ASB, namun ia memberikan kestabilan kepada para pendeposit.
“Oleh itu, anggaran pulangan TH untuk tahun ini diunjurkan sekitar 3.2 peratus hingga 3.3 peratus, menunjukkan kemungkinan kenaikan kecil daripada tahun sebelumnya,” katanya.


































