SEOUL: Korea Selatan sedang mengalami wabak influenza terbesar sejak 2016, dengan kes meningkat mendadak terutama dalam kalangan remaja.
Menurut Utusan Malaysia, Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) memaklumkan, kadar penyakit seperti influenza (ILI), iaitu bilangan kes disyaki selesema bagi setiap 1,000 lawatan pesakit luar di 300 klinik seluruh negara, mencecah 73.9 dari 22 hingga 28 Disember.
Jumlah tersebut meningkat 136 peratus berbanding kadar minggu sebelumnya sebanyak 31.3 peratus.
Kadar semasa itu hampir mencapai kemuncak 2016 iaitu 86.2 dan jauh lebih tinggi berbanding 2023, sebanyak 61.3 serta 60.7 pada 2022.
Sebagai perbandingan, semasa tahun pandemik Covid-19 pada 2020 dan 2021, kadar ILI masing-masing adalah 3.3 serta 4.8, lapor Asia News Network.
Walaupun kes selesema meningkat dalam semua kumpulan umur, remaja berusia 13 hingga 18 tahun paling terjejas, dengan kadar ILI sebanyak 151.3 bagi setiap 1,000 lawatan.
Jumlah itu 17.6 kali lebih tinggi berbanding ambang epidemik selesema bermusim 2024 hingga 2025 sebanyak 8.6 bagi setiap 1,000.
Strain dominan yang dikesan ialah A(H1N1)pdm09 sebanyak 34.6%, diikuti A(H3N2) 14.9% dan jenis B 1.4%.
KDCA menggesa golongan berisiko tinggi segera mendapatkan vaksin selesema.
Katanya, individu yang layak untuk vaksin percuma, termasuk kanak-kanak berusia enam bulan hingga 13 tahun, wanita hamil dan warga emas berumur 65 tahun ke atas, boleh divaksin sehingga 30 April.


































