HANOI: Ibu kota Hanoi, diselubungi asap tebal sejak beberapa minggu lalu, sekali gus meletakkannya di tangga teratas senarai bandar paling tercemar di dunia.
Menurut Utusan Malaysia, AirVisual yang menyediakan maklumat pencemaran udara global melalui aplikasi telefon menyatakan, paras zarah kecil berbahaya, dikenali sebagai PM2.5 diukur pada 266 mikrogram setiap meter padu di Hanoi pada awal pagi ini.
Hab pembuatan serantau dan antara ekonomi paling pesat berkembang di Asia itu melaporkan pencemaran udara yang teruk di bandar-bandar utamanya selama bertahun-tahun, terutamanya di Hanoi.
Asap tebal kebanyakannya berpunca daripada lalu lintas yang padat, pembakaran sampah dan aktiviti perindustrian.
“Kami warga emas dapat merasakannya dengan jelas apabila kami kerap mengalami masalah pernafasan. Keadaan nampaknya semakin teruk sejak beberapa hari lalu,” kata seorang penduduk, Luu Minh Duc yang berusia 64 tahun.
Bercakap pada pertemuan dengan kementerian pengangkutan semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tran Hong Ha menggesa peralihan kepada kenderaan elektrik (EV) dipercepatkan sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan pencemaran, lapor media kerajaan.
“Setakat ini Hanoi mempunyai sasaran untuk sekurang-kurangnya 50 peratus bas dan 100 peratus teksi bertukar kepada EV menjelang 2030.
“Ini adalah tanggungjawab negara kepada rakyat dan mesti ada tindakan khusus dan tepat pada masanya,” kata Ha dipetik akhbar Tien Phong.


































