NEW YORK: Dari Sydney ke Mumbai dan Nairobi, komuniti di seluruh dunia menyambut tahun baharu 2025 dengan pertunjukan cahaya, pelukan dan aktiviti unik seperti berendam air sejuk.
Menurut Utusan Malaysia, Auckland, New Zealand menjadi bandar pertama meraikan ketibaan 2025 apabila ribuan penduduk berkumpul di pusat bandar dan puncak gunung berapi untuk menyaksikan bunga api.
Negara-negara di lautan Pasifik Selatan adalah yang pertama menyambut tahun baharu, dengan tengah malam di New Zealand tiba 18 jam lebih awal daripada sambutan di Times Square, New York.
Lebih sejuta rakyat Australia dan pelancong membanjiri Sydney Harbour untuk menyaksikan pertunjukan bunga api di Jambatan Sydney dan sekitar teluknya.
Di Jepun, persiapan tahun baharu disambut dengan aktiviti pembersihan besar-besaran di kuil dan kediaman menjelang perayaan terbesar negara itu sementara di Korea Selatan, sambutan dikurangkan dan dibatalkan di beberapa lokasi susulan tragedi nahas pesawat Jeju Air di Muan yang mengorbankan 179 nyawa.
Bangkok, Thailand pula menyaksikan persaingan di antara pusat beli-belah yang menganjurkan persembahan muzik secara langsung dan pertunjukan bunga api manakala di Jakarta, Indonesia, 800 dron menyinari langit malam.
Di Mumbai, India, ribuan rakyat berkumpul di kawasan persisiran pantai menghadap Laut Arab manakala di Sri Lanka, penduduk berkumpul di kuil Buddha untuk menyalakan pelita dan berdoa.
Dubai pula menjadi tumpuan dengan pertunjukan bunga api di Burj Khalifa, bangunan tertinggi di dunia.
Paris menutup tahun 2024 dengan pertunjukan bunga api dan paparan cahaya di Arc de Triomphe yang menggambarkan mercu tanda bandar itu.
Di Rio de Janeiro, Brazil, lebih dua juta orang membanjiri Pantai Copacabana untuk menyaksikan pertunjukan bunga api selama 12 minit.
Di New York, tradisi ball drop di Times Square yang bermula sejak 1907 diteruskan dengan persembahan artis terkenal seperti Jonas Brothers dan TLC.
Di Las Vegas, lebih 340,000 pengunjung dijangka hadir untuk menyaksikan pertunjukan bunga api di sepanjang The Strip, manakala lokasi ikonik Sphere akan menayangkan kiraan detik tengah malam mengikut zon waktu berbeza buat pertama kali.
Sambutan tahun baharu 2025 di seluruh dunia membawa harapan baru, perpaduan dan impian untuk masa depan yang lebih cerah ketika peperangan dan kebuluran masih menyelubungi negara di Asia Barat serta Afrika.
































