ASTANA: Penyiasatan awal mendapati pelanggaran dengan burung berkemungkinan menyebabkan sebuah pesawat milik Azerbaijan Airlines terhempas berhampiran bandar Aktau di Kazakhstan, Rabu lalu.
Pesawat yang membawa 67 penumpang dan lima kru kabin itu dalam penerbangan dari Baku, Azerbaijan ke Grozny, Russia dilaporkan terbakar semasa jatuh di lokasi nahas.
“Puncanya mungkin akibat pelanggaran dengan sekumpulan burung,” kata syarikat penerbangan itu.
Menurut Utusan Malaysia, agensi berita Russia melaporkan, pesawat Embraer 190, dengan nombor penerbangan J2-8243 diarah melencong ke laluan alternatif akibat kabus tebal di Grozny.
Badan pemerhati penerbangan Russia berkata, maklumat awal mendapati juruterbang memutuskan untuk membuat pendaratan kecemasan selepas pelanggaran burung.
Pihak berkuasa di Kazakhstan memaklumkan pihaknya turut menyiasat beberapa kemungkinan punca nahas, termasuk masalah teknikal.
Nahas itu mengorbankan 38 penumpang dan 29 yang lain dilaporkan selamat.


































