Jurulatih Manchester City, Pep Guardiola (kanan) bersalaman bersama rakan sejawatnya, Sean Dyche dari Everton selepas tamat perlawanan di Stadium Etihad, kelmarin.
MANCHESTER: Hasrat Manchester City untuk melakar kemenangan di laman sendiri gagal apabila skuad kendalian Pep Guardiola itu sekadar seri 1-1 menentang Everton, malam tadi.
Menurut Utusan Malaysia, tuan rumah terlebih dahulu berada di depan seawal minit ke-14 menerusi jaringan kaki kiri Bernardo Silva namun Iliman Ndiaye memadam kelebihan tersebut apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-36 berpunca daripada gerakan Manuel Akanji.
Skuad The Citizens dihadiahkan penalti pada minit ke-53 selepas pertahanan Everton, Vitalii Mykolenko mengasari Savinho namun Erling Haaland gagal menyempurnakannya.
Keputusan seri itu menyaksikan City menduduki tangga keenam dengan 28 mata manakala Everton di kedudukan ke-15 selepas mengutip 17 mata.
Kali terakhir City mencipta kemenangan dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Nottingham Forest 3-0 di laman sendiri pada 5 Disember lalu.
Selepas ini mereka di jadual menentang Leicester City di tempat lawan pada Ahad ini.


































