PYONGYANG: Sebuah akhbar berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) mendakwa rakyat Korea Utara yang memfailkan penceraian akan dijadikan buruh paksa.
Menurut Utusan Malaysia, Radio Free Asia yang memetik sumber tanpa nama yang tinggal di wilayah Yanggang, Korea Utara mendakwa, 12 pasangan memuktamadkan penceraian mereka di mahkamah pada 13 Disember lalu.
Selepas keputusan tersebut, setiap individu dihantar ke kem buruh tentera, kata laporan.
“Tahun lepas, hanya individu yang memfailkan penceraian akan dihantar ke kem buruh tentera, namun sejak bulan lepas, kedua-dua pasangan dihantar,” kata sumber tersebut.
Pada Jun 2021, saluran media dalam talian yang berpangkalan di Seoul, Daily NK melaporkan, walaupun pihak berkuasa Pyongyang menjatuhkan hukuman terhadap pasangan bercerai dengan penempatan selama enam bulan di kem buruh, ia hanya melibatkan individu paling bersalah dalam penceraian.
Ini dipercayai sebagai tindak balas kepada arahan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un pada Mac 2021, kononnya menuduh mereka yang ingin bercerai ‘membawa huru-hara dalam masyarakat dan menentang gaya hidup sosialis’.
Undang-undang Korea Utara mengakui kemungkinan penceraian, tetapi tidak menetapkan sebarang jenis hukuman untunya.
Sumber lain memberitahu Radio Free Asia mengenai seorang individu yang menjalani hukuman tiga bulan di kem buruh kerana penceraian.
Individu terbabit dilaporkan berkata, 30 daripada 120 orang yang berada di kem itu adalah akibat penceraian, dan golongan wanita biasanya dikenakan tempoh hukuman lebih lama berbanding lelaki.
Ini kerana, penceraian cenderung difailkan oleh wanita kerana kebanyakan kes di negara itu adalah disebabkan keganasan rumah tangga yang dilakukan suami.
































