Mohd. Nur Hilmie Milus
KOTA KINABALU: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sabah menyeru semua pihak, khususnya pemimpin politik, untuk menghentikan segala bentuk hiruk-pikuk politik yang berpotensi menggugat kestabilan Sabah.
Yang di-Pertua ABIM Sabah, Mohd. Nur Hilmie Milus menegaskan bahawa rakyat Sabah telah lama mendambakan kepimpinan yang kukuh dan bersatu untuk merealisasikan agenda pemulihan pascapandemik Covid-19. Pandemik tersebut meninggalkan kesan mendalam terhadap ekonomi, politik dan sosial negeri ini.
Beliau berkata, keutamaan rakyat adalah jelas: kestabilan politik yang menjadi asas kepada kemajuan dan pembangunan Sabah.
“Negeri ini tidak lagi mampu terjebak dalam konflik politik yang tidak berkesudahan, yang hanya memburukkan lagi cabaran pemulihan ekonomi dan sosial. Kami yakin bahawa dengan tumpuan kepada kestabilan, Sabah mampu bangkit sebagai sebuah negeri yang makmur dan progresif.
“Sabah perlu mengambil iktibar daripada Sarawak, yang telah membuktikan bagaimana kestabilan politik dapat memacu pembangunan pesat. Dengan rekod pelaburan langsung asing (FDI) tertinggi di Malaysia, Sarawak menjadi contoh nyata bahawa kepimpinan yang bersatu padu mampu menarik keyakinan pelabur dan menjamin kesejahteraan rakyat.
“Sabah yang kaya dengan sumber alam dan kepelbagaian budaya memiliki potensi besar untuk cemerlang, namun kestabilan politik tetap menjadi kunci utama.
“Di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI di peringkat Persekutuan, kami percaya bahawa Sabah memiliki peluang besar untuk menyertai arus pembangunan nasional yang inklusif dan progresif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nur Hilmie berkata, Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah, memikul tanggungjawab besar untuk terus memacu kestabilan serta menerajui agenda pemulihan dan pembangunan negeri.
“Kami menyokong segala usaha Kerajaan Negeri dalam memperkukuhkan ekonomi, memperkasakan pendidikan dan memastikan kebajikan rakyat Sabah terpelihara. Namun, usaha ini memerlukan sokongan padu daripada semua pihak, termasuk para pemimpin politik, yang perlu mengutamakan kepentingan negeri mengatasi agenda peribadi atau kelompok,” jelasnya.
ABIM Sabah menyeru semua pihak untuk mengenepikan perbezaan politik demi membina sebuah negeri yang stabil dan makmur.
“Rakyat Sabah mendambakan tindakan konkrit, bukan sekadar retorik politik.
“Hiruk-pikuk politik hanya akan melemahkan keyakinan rakyat dan pelabur terhadap masa depan negeri ini.
“Kami ingin menegaskan bahawa kestabilan politik bukan sahaja penting untuk negeri, tetapi juga sebahagian daripada komitmen dalam menjayakan agenda Malaysia MADANI yang menyeluruh.
“Dengan kepimpinan yang teguh serta keutamaan kepada kebajikan rakyat, Sabah mampu menjadi contoh negeri yang seimbang antara pembangunan ekonomi dan kesejahteraan sosial.
“Semoga semua pihak dapat bersatu demi sebuah Sabah yang lebih stabil, progresif dan sejahtera,” katanya.


































