SEOUL: Sebuah mahkamah di Korea Selatan menjatuhkan hukuman penjara yang ditangguhkan terhadap seorang lelaki kerana sengaja menambah berat badan untuk mengelak menjalani perkhidmatan tentera wajib.
Menurut Utusan Malaysia, Mahkamah Daerah Timur Seoul semalam memaklumkan, lelaki terbabit dijatuhkan hukuman penjara setahun, digantung selama dua tahun, kerana melanggar Akta Perkhidmatan Tentera.
Menurut mahkamah, lelaki berusia 26 tahun itu sengaja menambah berat badannya lebih 20 kilogram (kg) bagi mendapatkan pelepasan daripada perkhidmatan ketenteraan.
Rakannya yang didapati bersubahat membantu rancangan menambah lebih 20kg berat badan, turut dijatuhkan hukuman penjara enam bulan, digantung selama setahun.
Bagaimanapun, identiti kedua-dua tertuduh tidak didedahkan.
Media tempatan melaporkan, pada pemeriksaan fizikal tahun 2017, lelaki itu memiliki berat badan 83kg dengan ketinggian 169cm, sekali gus layak untuk berkhidmat sebagai anggota tentera.
Namun, antara 2022 hingga 2023, beliau menggandakan pengambilan makanan harian, mengambil makanan tinggi kalori, berhenti kerja sambilan sebagai penghantar bungkusan dan minum air dalam kuantiti besar sebelum ujian kesihatan dijalankan.
Berat badannya meningkat kepada 102-105kg, menjadikannya hanya layak untuk khidmat sosial di pusat kebajikan.
Di Korea Selatan, semua lelaki berkemampuan terikat untuk berkhidmat dalam tentera selama 18 hingga 21 bulan.
Pengecualian hanya diberikan kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan atau layak menjalani khidmat komuniti di fasiliti awam.
Mahkamah menegaskan, tertuduh berjanji untuk memenuhi tanggungjawabnya dengan jujur, manakala kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan tidak membuat rayuan dalam keputusan itu.
































