KOTA KINABALU: Program Bantuan SME-UP dengan peruntukan sebanyak RM15 juta yang telah memanfaatkan seramai 5,201 usahawan akan diteruskan bagi meningkatkan keupayaan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di Sabah agar lebih kompetitif dan berdaya saing melalui bantuan mesin dan peralatan serta pembungkusan dan pelabelan.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, RM500,000 lagi adalah untuk memberi pendedahan kepada usahawan IKS mengenai teknologi terkini, pematuhan kepada Persijilan MeSTI dan Halal serta perundangan yang perlu dipatuhi bagi menembusi pasaran antarabangsa.
“Seterusnya, bagi memperbanyakkan lagi pemasaran produk IKS ke pasaran tempatan dan menyediakan ruang kepada pengusaha IKS memperkenalkan produk mereka, kerjasama dengan Kojasa Mart, Desa Fresh Mart dan Sabah Credit Corporation Outlet akan dimulakan pada tahun 2025 disamping meneruskan kerjasama dengan Pasaraya Bataras dan Kedai Mesra Petronas.
“Bagi mengembangkan pasaran produk-produk Usahawan IKS Sabah ke luar negeri melalui penyertaan ekspo antarabangsa dengan sasaran jualan sebanyak RM50 juta, sebanyak RM13.84 juta diperuntukkan bagi program promosi pelaburan, pemasaran, penganjuran seminar dan eksport IKS.
“Selain daripada itu, Kerajaan Negeri melalui agensi-agensi lain akan meneruskan program keusahawanan bagi membantu pengusaha IKS seperti Program PitchBorneo, Program Satu Daerah Satu Produk dan Program Pembangunan Usahawan Desa agar lebih ramai usahawan akar umbi menyertai pasaran keusahawanan tempatan dengan peruntukan sebanyak RM2.5 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 Sabah di Dewan Undangan Negeri (DUN) kelmarin.
Terdahulu, Masidi berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM124.70 juta bagi pembangunan sektor perindustrian dan keusahawanan di negeri ini.
Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak RM64.05 juta diperuntukkan kepada Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan serta jabatan di bawahnya dan sebanyak RM60.65 juta diperuntukkan di bawah agensi lain yang turut menyokong pembangunan perindustrian dan keusahawanan di negeri ini.
“Bagi pembangunan infrastruktur taman-taman perindustrian di KKIP, Palm Oil Industrial Cluster (POIC) Lahad Datu dan Sabah Oil and Gas Industrial Park (SOGIP) Sipitang agar lebih kondusif dan menarik peluang pelaburan di Sabah, sebanyak RM18.07 juta telah diperuntukkan untuk tujuan tersebut.
“Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) pula telah diperuntukkan sebanyak RM16.33 juta untuk meneruskan projek pembinaan premis perniagaan baharu dan penyiapan projek sedia ada, termasuk untuk pelaksanaan Projek Pembangunan Ekosistem dan Keupayaan Industri di Sabah yang merangkumi kursus-kursus keusahawanan berfokus kepada kemahiran digital, keusahawanan siswazah dan latihan teknikal.”
Masidi berkata, setakat Jun tahun ini, Sabah telah menerima pelaburan sebanyak RM1.7 bilion yang merangkumi pelaburan dalam dan luar negara di dalam Sektor Utama, Perkilangan dan Perkhidmatan.
“Sepertimana yang telah diketahui bahawa Sabah telah menerima pelaburan Syarikat SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd dari Korea Selatan dan Kumpulan Kibing daripada China dengan nilai pelaburan masing-masing berjumlah RM4.28 bilion dan RM2.48 bilion. Kedua-dua pelabur ini telah menghasilkan dan mengeksport produk mereka ke luar negara bermula pada hujung tahun 2023 bagi Syarikat SK Nexilis dan Kumpulan Kibing awal tahun ini.
“Usaha untuk membangunkan Sektor Perindustrian di negeri ini telah membuahkan hasil apabila sumbangan Sektor Pembuatan di dalam KDNK Sabah telah meningkat kepada RM6.03 bilion bersamaan 7.3 peratus pada tahun 2023 berbanding RM5.78 bilion bersamaan 7.0 peratus pada tahun 2022.
“Kadar pertumbuhan bagi sektor pembuatan di Sabah pada tahun 2023 adalah sebanyak 4.4 peratus mengatasi pertumbuhan purata Sektor Pembuatan nasional iaitu sebanyak 0.8 peratus, seterusnya menjadikan kadar pertumbuhan Sektor Pembuatan di Sabah yang tertinggi di Malaysia.”
Beliau berkata, pada tahun ini, Kumpulan Kibing melalui anak syarikatnya, SBH Kibing New Solar Energy (M) Sdn Bhd telah bersetuju untuk melabur kilang pembuatan kaca solar baharu dengan anggaran nilai pelaburan berjumlah RM7.2 bilion melalui tiga fasa pelaburan.
Katanya, pelaburan ini juga bakal memberi peluang pekerjaan kepada 5,000 rakyat di negeri ini.
“Pada masa yang sama, syarikat Kumpulan Kibing juga telah komited untuk meningkatkan kapasiti penghasilan kaca solar kilangnya di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dengan penambahan third production line. Anggaran nilai pelaburan tambahan adalah berjumlah RM700 juta sekaligus mewujudkan 600 tambahan peluang pekerjaan.”


































