Rasinah Raisin
KOTA KINABALU: ‘Pendek-pendek tapi tagap’. Begitulah kata-kata menggambarkan fizikal kebanyakan malim gunung dan porter yang berkhidmat di Gunung Kinabalu, Kundasang, Sabah.
Malim gunung yang menjadi juru pandu bagi pendaki manakala porter ditugaskan membawa barang tidak hanya melibatkan lelaki tetapi turut disertai wanita.
Walaupun masing-masing tidak berbadan sasa namun, kudrat mereka luar biasa dan dengan hanya sekali nafas walaupun barang seberat 100 kilogram boleh diangkat mendaki atau turun dari gunung berketinggian 4,095 meter.
Gunung Kinabalu turut mempunyai malim gunung wanita dan melihat kepada fizikal kaum hawa itu adalah biasa apabila ada kalangan pendaki was-was sebelum akhirnya terpaksa akur dengan kemampuan wanita menjadi `Badang Kinabalu.
Sebelum penubuhan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (Mosar), porter menggalas tanggungjawab mengangkat pendaki yang mengalami kecederaan. Setiap malim gunung dan porter boleh bekerja mengikut kesanggupan mereka mendaki.
Seorang daripada sembilan malim gunung wanita, Rasinah Raisin, 47, berkata, dia memulakan tugas sebagai porter sebelum menjadi malim gunung berlesen.

Rasinah Raisin
Katanya, kelebihan menjadi malim gunung wanita adalah dia boleh membantu memimpin pendaki wanita Muslim untuk turun di laluan yang memerlukan bantuan.
Biasanya pendaki wanita Muslim akan meminta agar mereka dipimpin oleh malim gunung wanita agar mudah untuk bersentuhan sekiranya mereka perlu naik atau turun di kawasan yang perlu menggunakan tali.
Rasinah berkata, pendaki perlu mengetahui tahap kemampuan diri dan jangan paksa diri untuk mendaki sehingga ke puncak sekiranya mula pening akibat akut gunung (acute mountain sickness).
“Jangan rasa rugi dengan bayaran yang telah dibuat jika tidak sampai ke puncak. Pemikiran sebegitu akan menyusahkan diri sendiri. Ingat wang boleh dicari tapi, kesihatan tidak boleh dibeli,” katanya.Rasinah, yang juga nenek kepada dua cucu itu bersyukur kerana bayaran menjadi malim gunung dinaikkan kepada RM330 untuk setiap trip.
Jadi, jika ada keupayaan mereka akan mendaki dua kali dalam seminggu. Ia bergantung kepada jadual pendakian. Malah, ada antara malim gunung yang membawa pendaki tiga kali dalam tempoh seminggu.
ANGKAT SET JANAKUASA
Badang Kinabalu yang menjadi jolokan porter dan malim gunung bukan hanya gelaran bagi lelaki tetapi juga porter wanita.

Sekumpulan porter mengangkat set janakusa seberat 400 kilogram ketika mendaki Gunung Kinabalu menuju ke Panabalan.
Ahineh Dainin, 45, yang mula menjadi porter semasa berusia 23 tahun antara wanita yang layak digelar Badang Kinabalu. Dengan saiz badan yang kecil, wanita ini pernah ditugaskan mengangkat set janakuasa seberat 100 kilogram bersama-sama dengan rakan porter lain.
Katanya, tenaga seorang wanita sepertinya sama kuat dengan lelaki jadi, tiada istilah porter wanita tidak mengangkat barangan yang berat.
Ketika muda, kata Ahineh apa sahaja barangan dia mampu angkat namun, ketika usianya meningkat kekuatannya juga sudah tidak sehebat dahulu. Badan dan lututnya mula terasa sakit apabila mengangkat barang yang terlalu berat.
SAIZ FIZIKAL
Sementara itu, Ewon Binidek, 28, berkata, kudrat untuk bergelar malim gunung dan porter tidak bergantung kepada saiz fizikal seseorang sebaliknya kemahuan setiap individu itu lebih penting.
Dia yang berketinggian sekitar 150 sentimeter dan berat tidak lebih 60 kilogram boleh mendaki gunung seminggu sekali dan perkara biasa jika terpaksa memikul pendaki yang cedera.
Ceritanya, dalam tempoh enam tahun bekerja terlalu banyak pengalaman dilalui sama ada sebagai porter mahupun malim gunung.
“Antara insiden yang tidak boleh dilupakan ialah terjatuh ketika membawa barang pendakian turun gunung ketika bertugas sebagai porter.
“Insiden itu menjadi pengajaran untuk lebih berhati-hati sepanjang mendaki gunung.Biarpun kecederaan dialami hanya luka ringan di lutut dan siku namun saya tidak dapat bekerja dua hari,” katanya.

Pelbagai barang menggunakan kudrat porter untuk dihantar ke Panabalan dan Laban Rata.
Selain itu, katanya, dia pernah melalui pengalaman cemas iaitu seorang pendaki di bawah jagaannya terjatuh akibat tertendang tongkat sendiri lalu patah pergelangan tangan ketika turun dari puncak.
Insiden yang berlaku membuatkan dia lebih tegas dan sering mengingatkan pendaki agar sentiasa berhati-hati di sepanjang laluan pendakian.
Ewon dari Kampung Kibas, Ranau berkata, dia memulakan kerjayanya sebagai porter pada tahun 2018 sebelum memutuskan untuk menjadi malim gunung.
Porter hanya boleh naik sehingga ke Panalaban dan hanya malim gunung yang dibenarkan naik sehingga ke puncak Gunung Kinabalu.
Dia menjadi porter dan menjalani latihan sebagai malim gunung dua tahun sebelum memperoleh lesen bergelar malim gunung.
GEGARAN SUSULAN
Bercerita lanjut, Ewon berkata, sepanjang pendakiannya dia melalui dua kali gegaran di Gunung Kinabalu iaitu pada tahun 2015 dan pada tahun 2020. Katanya, dalam gegaran buruk pada 2015 ketika itu dia dan pendaki dibawanya berada di kawasan runtuhan batu.
“Biarpun gegaran itu kecil tetapi saya boleh rasa itu adalah gegaran susulan. Memang saya panik tapi, saya tidak mahu maklumkan kepada pendaki yang saya bawa sebab tidak mahu mereka juga panik. Itu antara pengalaman paling mencabar.
“Saya jadi bingung dan tidak tahu mahu buat apa ketika itu. Tapi, saya tetap memastikan pendaki di bawah jagaan saya berada dalam keadaan selamat,” katanya.
Turut berkongsi pengalaman, Safrey Sumping, 41, yang juga memulakan tugas sebagai porter sebelum menjadi malim gunung yang berlesen di bawah Taman-Taman Sabah (TTS).
Safrey antara malim gunung yang turut berada berhampiran puncak Gunung Kinabalu ketika kejadian gempa bumi berlaku sembilan tahun lalu.
Pengalaman paling diingati sehingga sekarang sudah pasti tragedi gempa bumi berukuran 5.9 skala richter yang mengorbankan 18 nyawa pendaki termasuk empat malim gunung.
Insiden itu banyak mengubah keadaan di Gunung Kinabalu terutama dari aspek keselamatan serta laluan pendakian dari Panalaban ke puncak.
Memulakan tugas malim gunung ketika berusia 21 tahun menjadikan Safrey antara malim gunung yang berpengalaman dalam rutin tugasnya di Gunung Kinabalu.
Dia yang berasal dari Kampung Himbaan, Bundu Tuhan itu menjadi malim gunung seperti bapa, abang dan adiknya.
Katanya, ada yang salah faham tentang tugas malim gunung kerana beranggapan malim gunung turut bertugas mengangkat barangan peribadi pendaki yang berada di bawah jagaannya.
“Sebenarnya tugas malim gunung adalah memberi panduan dan membawa pendaki sehingga sampai ke puncak. Memandangkan malim gunung lebih mengetahui selok-belok laluan pendakian maka, pendaki dinasihatkan untuk sentiasa mengikut arahan dan nasihat diberikan malim gunung bagi mengelak sebarang kecelakaan.
“Saya beralih kerjaya dari porter kepada malim gunung kerana saya ingin belajar bahasa asing terutama bahasa Inggeris. Tugas sebagai malim gunung membolehkan kami belajar banyak bahasa kerana kami banyak berinteraksi dengan pendaki pelbagai negara. Maka, sedikit sebanyak membantu saya untuk berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Inggeris,” katanya.
Jelasnya, dia akan terus menjadi malim gunung sehingga berusia 50 tahun atau sehingga dia tidak mampu lagi untuk mendaki. Jika dilihat pada masa ini, malim paling tertua berusia 72 tahun.
Selain tugas hakikinya sebagai malim gunung, Safrey turut aktif mengambil bahagian dalam aktiviti larian seperti Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu serta acara larian di luar negara termasuk Itali, Jepun dan Hong Kong.
PELUANG KERJA
Sementara itu, Nail Ambrose Sitam, 37, yang mula menjadi porter sambilan pada usia 12 tahun mengambil keputusan menjadi malim gunung kerana sukar mencari kerja lain yang lebih baik.

Nail Ambrose Sitam
“Saya bermula sebagai porter semasa berusia 12 tahun kerana mahu cari duit tambahan untuk perbelanjaan sekolah. Jadi, setiap kali cuti sekolah, saya akan ikut bapa saya yang bertugas sebagai malim gunung untuk mengangkat barang pendaki.
“Masa itu saya masih kecil jadi, barangan paling berat saya angkat hanya sekitar 10 hingga 12 kilogram,” katanya.
Menurutnya, dia adalah generasi ketiga dalam keluarga yang menjadi malim gunung selepas datuk dan juga bapanya.
Ketika ini, seorang malim gunung akan bertanggungjawab menjaga lima pendaki pada satu-satu masa. Namun, jika pendaki dalam kalangan kanak-kanak, seorang malim gunung hanya boleh membawa tiga orang kanak-kanak.
Itu antara syarat yang ditetapkan oleh TTS kepada malim gunung demi memastikan keselamatan pendaki sentiasa terjaga.
Namun, dia pernah mengendalikan kumpulan yang besar sehingga 50 orang pendaki dan mereka kemudian diagihkan kepada kumpulan-kumpulan kecil yang akan dijaga oleh beberapa malim gunung.
“Kami bukan hanya mengendalikan pendaki tempatan sebaliknya, kami turut mengendalikan pendaki dari luar negara. Memang pelbagai ragam pendaki yang saya jumpa dan itu memerlukan kesabaran yang tinggi,” katanya.
Turut berkongsi pengalaman sebagai porter ialah Jvy Mius, 27, dari Kampung Pahu Pinawantai, Ranau yang sudah menjalani tugas sebagai porter selama enam tahun.
Katanya, antara cabaran menjadi porter adalah berhadapan dengan cuaca hujan dan sejuk serta mengangkat barangan yang terlalu berat.
Katanya, jika hujan dan berangin, suhu di sepanjang laluan akan menjadi lebih sejuk.
“Saya pernah mengangkat set janakuasa secara beramai-ramai dengan porter lain. Set janakuasa itu digunakan untuk pembinaan di Panalaban. Malah, saya juga pernah mengangkat pasir seberat 68 kilogram, ia lebih berat berbanding berat badan saya.
“Kerja seperti ini tidak baik untuk kesihatan pada jangka masa panjang. Bapa saya sendiri sudah berhenti sebagai porter pada 2014 kerana mengalami sakit kaki sehingga terpaksa menjalani pembedahan,” katanya.
Menurut Jvy, memandangkan dia turut bertugas mengangkat barang keperluan penginapan di Panalaban jadi, dalam seminggu hanya dua atau tiga hari sahaja dia akan berehat dan selebihnya dia bekerja demi mendapatkan wang.
Anak muda yang berhasrat menyambung pengajian dalam bidang perniagaan itu sentiasa meletakkan sasaran pendapatan harian yang ingin diperoleh. Jika dia mahu mendapatkan lebih RM200 pada hari tersebut maka, dia akan mengangkat barang seberat 30 kilogram.